Jualan kenderaan pada Mac 2024 meningkat 10.5% kepada 71,052 unit berbanding Februari - MAA | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan pada Mac 2024 meningkat 10.5% kepada 71,052 unit berbanding Februari - MAA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Sejumlah 71,052 kenderaan dijual pada Mac 2024 di seluruh Malaysia, naik 10.5% bulan ke bulan berbanding 64,290 unit yang dijual pada Februari lalu.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jumlah itu bagaimanapun susut 10% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

MAA mengaitkan peningkatan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada bulan lalu disebabkan penghantaran pantas oleh syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac 2024 dan kempen promosi hari raya.

 

"Jualan kenderaan pada Mac 2024 melonjakkan TIV tahun ini kepada 202,245 unit, naik 5% berbanding 192,615 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Berbanding TIV pada Mac 2023, jumlah kenderaan yang dijual menurun 9.93% daripada 78,881 unit dengan sebahagiannya didorong oleh penghantaran pesanan yang tertunggak yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan.

 

Jumlah pengeluaran kenderaan bagi bulan itu meningkat 8.05% kepada 66,923 unit, daripada 61,935 unit pada Februari 2024, manakala angka semasa meningkat 6% kepada 210,431 unit, daripada 198,394 unit setahun lalu.

 

Bagaimanapun, MAA menjangkakan jualan April jauh lebih rendah berbanding Mac 2024, disebabkan tempoh bekerja yang singkat kerana cuti perayaan. - DagangNews.com