Jumlah kontrak baharu Kerjaya Prospek melonjak kepada RM1.55 bilion, hampiri sasaran FY24 Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Jumlah kontrak baharu Kerjaya Prospek melonjak kepada RM1.55 bilion, hampiri sasaran FY24 Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Kemenangan kontrak baharu Kerjaya Prospek Group Bhd daripada anak syarikat UEM Sunrise Bhd melonjakkan jumlah pekerjaan baharu kepada RM1.55 bilion pada tahun ini.

 

Kenanga Research berkata, kejayaan itu juga menyaksikan kumpulan itu hampir memenuhi sasaran pekerjaan sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Katanya, kontrak baharu itu juga menaikkan buku pesanan tertunggak kumpulan itu kepada RM4.7 bilion.

 

Sementara itu, buku tendernya berjumlah RM4 bilion, terdiri daripada RM2 bilion pekerjaan bangunan dan tiga pekerjaan industri termasuk bidaan pusat data bernilai RM2 bilion.

 

"Kemenangan kontrak sehingga kini sebanyak RM1.55 bilion sangat hampir dengan andaian FY25 kami sebanyak RM1.6 bilion. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM293 juta daripada anak syarikat UEM Sunrise bagi pembinaan bangunan kediaman di Kuala Lumpur

 

"Kami mengekalkan andaian kerana kemenangan kontrak pada Ogos 2024 sebanyak RM275.3 juta adalah bagi memulakan kerja pembinaan mulai Januari 2025, yang tidak akan diiktiraf pada FY24, oleh itu, kami mengekalkan anggaran kami tidak berubah," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, memperoleh kontrak membina bangunan 57 tingkat di Batu, Kuala Lumpur bernilai RM292.8 juta untuk Mega Legacy (M) Sdn Bhd.

 

Kontrak itu akan bermula bulan ini dengan tempoh pembinaan selama 38 bulan.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana menggunakan kaedah pembinaan acuan yang inovatif dengan margin tinggi, pasukan pengurusannya yang praktikal dengan rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh. 

 

Ia juga memiliki keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan tertunggak yang besar dan tempahan berulang daripada syarikat berkaitan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM2.24 sesaham.- DagangNews.com