KUALA LUMPUR 25 April - Kerugian bersih Sarawak Cable Bhd pada suku ketiga berakhir 29 Februari 2024 (3QFY24) terus meningkat kepada RM21 juta berbanding RM14.2 juta yang dicatatkan bagi suku sama pada tahun lalu disebabkan pengeluaran yang rendah.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga menyusut lebih 40% kepada RM74.4 juta berbanding RM130.5 juta pada 3QFY23.
Katanya, ketika ini kumpulan sedang berunding dengan pemiutangnya untuk penstrukturan semula yang baharu selepas program penstrukturan sebelum ini ditolak, menyebabkansaluran kredit dan pembiayaan terhenti.
Keadaan itu menyebabkan kumpulan itu beroperasi di bawah kapasiti yang lebih rendah dengan menggunakan sumber dalaman.
"Ia menyebabkan pengeluaran berkurangan dan hasil yang rendah direkodkan. Memandangkan pengeluaran telah berkurangan, kumpulan itu gagal menyerap overhed yang lebih tinggi mengakibatkan kerugian lebih tinggi pada suku berkenaan" katanya.
Kerugian bersih kumpulan itu bagi tempoh sembilan bulan berakhir 29 Februari 2024 (9MFY24) melebar kepada RM69.5 juta berbanding RM26.4 juta manakala hasil bagi tempoh yang sama juga susut 39% kepada RM273.9 juta berbanding RM455.9 juta pada 9MFY23.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, buku tempahan bagi segmen kabel dan wayar kekal tinggi dengan peningkatan menggalakkan untuk produk tergalvanidan segmen struktur keluli yang menyumbang secara positif kepada mereka.
Katanya, kumpulan itu kini sedang berunding dengan pemiutang untuk menyusun semula hutang perbankannya.
"Kejayaan pelaksanaan penstrukturan ini akan memulihkan prestasi kewangan kumpulan," katanya. - DagangNews.com