Ketua Eksekutif JCorp, Syed Mohamed Syed Ibrahim dilantik Pengerusi Malaysia Steel Works | DagangNews Skip to main content

Ketua Eksekutif JCorp, Syed Mohamed Syed Ibrahim dilantik Pengerusi Malaysia Steel Works

Syed Mohamed Syed Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) berkuat kuasa 1 Mac 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Mac - Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bebas Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) berkuat kuasa 1 Mac 2024.

 

Syed Mohamed merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) serta Pengerusi JLand Group.

 

Menurut Masteel, Syed Mohamed membawa bersama pengalaman selama lebih 40 tahun dalam dunia korporat dengan pernah menerajui pelbagai organisasi terkemuka merentas industri, memacu pertumbuhan yang mampan di peringkat global dan di Malaysia.

 

"Kepakaran beliau merangkumi sektor perbankan, pembangunan hartanah, teknologi dan strategi perniagaan.

 

"Rekod Syed Mohamed terbukti dalam memacu keuntungan, memupuk perkongsian strategik dan menarajui usaha korporat yang bertransformasi meletakkan beliau sebagai pemimpin yang ideal untuk membimbing Masteel dalam fasa pertumbuhan seterusnya.

 

"Tambahan pula, penekanan beliau terhadap asas perniagaan yang kukuh dan kepimpinan yang berwawasan jauh dijangka akan menyambut era baharu dinamisme bagi Masteel," kata Kumpulan itu dalam kenyataan media hari ini. 

 

Komitmen Syed Mohamed terhadap pertumbuhan perniagaan yang mampan akan mencerminkan secara positif dalam operasi dan strategi masa depan Masteel.

 

masteel

 

"Ini ketika Kumpulan mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar keluli ultra-rendah karbon terkemuka negara, memperjuangkan amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," ujarnya.

 

Masteel yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia merupakan salah satu daripada lima syarikat keluli bersepadu terbaik di Malaysia. 

 

Syarikat tersebut turut mengeksport produk kelulinya ke Australia, New Zealand, Papua New Guinea, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan China. - DagangNews.com