Keuntungan KPJ Healthcare kembali pulih jika kes COVID-19 menurun ke tahap lebih rendah - HLInvest | DagangNews Skip to main content

Keuntungan KPJ Healthcare kembali pulih jika kes COVID-19 menurun ke tahap lebih rendah - HLInvest

 KPJ Healthcare Berhad. Kredit gambar The Edge Markets

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Keuntungan syarikat KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) akan kembali pulih sekiranya jumlah kes COVID-19 di negara ini menunjukkan penurunan ke tahap yang lebih baik.

 

Hong Leong Investment Bank Research (HLInvest) berkata, inisiatif berkaitan rawatan COVID-19 yang turut digerakkan KPJ juga dilihat tidak memberi sumbangan kepada pemulihan keuntungan syarikat.

 

"Kami menyertai taklimat berkaitan keputusan suku kedua 2021 KPJ dan kami 'neutral' terhadap prospek  ke hadapan kumpulan berkenaan.

 

"Walaupun pelbagai usaha berkaitan rawatan COVID-19 digerakkan, kami yakin pemulihan keuntungan KPJ hanya akan dapat dilihat apabila kes COVID-19 menurun ke tahap lebih rendah.

 

"Meskipun kadar penggunaan katil mencatatkan sedikit peningkatan, kami maklum bahawa ia disebabkan oleh pesakit yang ditolak daripada hospital kerajaan," jelas HLInvest.

 

Kadar penggunaan katil di KPJ pada suku kedua 2021 adalah 41% lebih tinggi berbanding 34% pada suku kedua 2020.

 

Peningkatan tersebut disebabkan oleh kesan asas yang rendah kesan daripada PKP 1.0 yang lebih ketat pada suku kedua 2020 dan pesakit yang ditolak dari hospital kerajaan yang kurang menguntungkan berbanding pesakit biasa.

 

Susulan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di Malaysia, KPJ terus menerima pesakit tidak berkaitan COVID-19 yang tidak diterima di hospital kerajaan kerana terlalu ramai pesakit COVID-19.

 

KPJ memaklumkan, meskipun pihaknya menerima pesakit yang ditolak dari hospital kerajaan, perkara itu tidak memberi keuntungan lumayan kepada syarikatnya berbanding pesakit biasa.

 

"Oleh itu, kami tidak meletakkan harapan sumbangan yang besar. Pada suku kedua 2021, pesakit yang ditolak daripada hospital kerajaan hanya menyumbang kurang daripada 1% daripada jumlah perolehan keseluruhan.

 

HLInvest mengekalkan saranan 'pegang' saham KPJ dengan harga sasaran sesaham yang tidak berubah sebanyak RM0.95. - DagangNews.com