90% ahli KWSP bawah 30 tahun tak cukup wang simpanan asas RM240,000 untuk bersara - Institut Penyelidikan Khazanah | DagangNews Skip to main content

90% ahli KWSP bawah 30 tahun tak cukup wang simpanan asas RM240,000 untuk bersara - Institut Penyelidikan Khazanah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Lebih 90% ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 30 tahun tidak akan mempunyai simpanan asas yang mencukupi iaitu sebanyak RM240,000 untuk bersara, kata Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

 

Ahli KWSP meliputi 60% daripada pasaran buruh, tidak termasuk mereka yang bekerja di sektor awam dan tidak formal.

 

Mengikut anggaran KWSP, seseorang individu perlu mempunyai minimum RM35,000 menjelang umur 30 tahun untuk mencapai simpanan asas persaraan RM240,000 menjelang umur 55 tahun.

 

KRI berkata data caruman ahli KWSP dari 2019 hingga 2022 menunjukkan hanya 10% teratas dalam kategori umur 30 tahun ke bawah mempunyai lebih RM35,000.

 

Purata simpanan 10% teratas pada 2022 ialah RM49,061.

 

"Ini menyerlahkan isu struktur gaji permulaan yang rendah dalam kalangan mereka yang mula memasuki pasaran pekerjaan kerana mereka tidak dapat mencapai caruman asas KWSP untuk persaraan," katanya dalam laporannya bertajuk 'Households and the pandemic 2019-2022' yang meninjau keadaan isi rumah pada tahun ini.

 

Laporan itu mendapati mereka yang berumur di bawah 30 tahun kurang terjejas oleh pengeluaran KWSP semasa pandemik Covid-19, kerana mereka biasanya mempunyai komitmen kewangan yang lebih rendah dari segi pinjaman perumahan/kenderaan atau tanggungan lain-lain.

 

"Walaupun boleh dikatakan gaji mereka mungkin bertambah baik melalui kemajuan kerjaya, terdapat kesan pengkompaunan yang dikaitkan dengan gaji permulaan yang rendah, kerana ia mengakibatkan pertumbuhan gaji yang lebih perlahan," ulas KRI.

 

Dalam laporannya KRI berkata, walaupun ada peningkatan dalam bahagian caruman Akaun 1 KWSP daripada 70% kepada 75%, KWSP mengunjurkan 65% ahlinya mungkin mempunyai kemampuan untuk mencapai simpanan asas menjelang 2035.

 

Laporan itu juga menekankan keperluan untuk meneliti semula sasaran penjimatan RM240,000, yang tidak disemak sejak 2019.

 

"Memandangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia meningkat, sasaran RM250,000 mungkin tidak mencukupi dan memerlukan pemeriksaan semula kerana angka ini tidak disemak sejak 2019," ujarnya.

 

Ia menekankan individu yang menghampiri umur persaraan mungkin menghadapi masalah seperti risiko kesihatan dan hilang upaya. 

 

"Kita perlu mengambil perhatian kepada pekerja sektor tidak formal, mungkin mereka menghadapi prospek yang teruk mengenai persaraan mereka kerana pada masa ini, mereka tidak diwajibkan untuk mencarum kepada KWSP.

 

"Pekerja dari sektor tidak formal yang menghadapi pendapatan purata lebih rendah, mungkin juga tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan untuk persaraannya berbanding pekerja sektor formal," jelasnya.

 

Institut penyelidikan itu berkata, walaupun laporan menunjukkan peningkatan pencarum bagi skim caruman sukarela, pengambilan masih jauh lebih rendah iaitu 730,066 pencarum pada 2022.- DagangNews.com