Sistem cukai progresif yang mengurangkan ketirisan amat penting ada di dalam Bajet 2025 - Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM) | DagangNews Skip to main content

Sistem cukai progresif yang mengurangkan ketirisan amat penting ada di dalam Bajet 2025 - Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM)

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Sistem cukai progresif yang mengurangkan ketirisan dan meningkatkan pematuhan perlu ditengahkan dalam Bajet 2025 akan datang bagi memastikan asas cukai Malaysia terus menyokong pertumbuhan mampan, menurut Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM). 

 

Presiden CTIM, Soh Lian Seng berkata beberapa inisiatif cukai yang diperkenalkan dalam Bajet 2024 mempunyai potensi untuk dipertingkatkan lagi.

 

Beliau berkata, skop e-invois mesti diperjelaskan secara berterusan bagi memastikan perniagaan dapat mencatat semua transaksi yang berkaitan.

 

"Pengecualian cukai keuntungan modal (CGT) berasaskan bahan semasa, dihadkan kepada tiga tahun harus ditetapkan. Selain itu, kerugian CGT harus dibenarkan bagi mengimbangi pendapatan dalam tahun yang sama tanpa sekatan.

 

“Semakan menyeluruh rangka kerja cukai perkhidmatan yang digunakan dalam sektor logistic dan pengecualian zon bebas perlu diteruskan berdasarkan tempat perkhidmatan/bahan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Soh mencadang untuk memperkenalkan rangka kerja cukai berbilang tahun (MYTF) dalam Bajet 2025 untuk meningkatkan kepastian pelaburan, sejajar dengan keutamaan kerajaan dalam mempercepatkan pembaharuan Ekonomi Madani.

 

Beliau juga berkata rangka kerja itu harus menggariskan dasar dan kadar cukai tempoh tetap yang jelas, seperti tiga hingga lima tahun, untuk menyediakan persekitaran cukai yang stabil dan boleh diramal oleh perniagaan dan pelabur.

 

Selain itu, beliau juga berkata MYTF yang direka harus meliputi bidang utama seperti objektif dasar cukai, pembaharuan perundangan cukai, pentadbiran dan pematuhan cukai, serta insentif dan pengecualian cukai.

 

Sementara itu, Soh berkata klasifikasi B40, M40, dan T20 perlu ditakrifkan semula dan kajian terperinci harus menilai sama ada model cukai pendapatan berasaskan individu semasa perlu beralih kepada model berasaskan isi rumah.

 

“Pembebasan peribadi individu iaitu RM9,000 dan tanggungan termasuk pelepasan rawatan perubatan ibu bapa, pasangan suami isteri dan OKU perlu dikaji semula bagi menggambarkan dengan lebih baik kos sara hidup yang semakin meningkat.

 

"Terutamanya, pelepasan untuk orang kurang upaya pula ditetapkan pada RM6,000 sejak 2005 memerlukan semakan segera, CTIM mencadangkan agar semakan itu mencerminkan realiti ekonomi semasa," katanya.

 

CTIM juga mengesyorkan yuran perkhidmatan cukai, termasuk yang di luar pemfailan cukai, boleh ditolak sepenuhnya sebagai perbelanjaan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

 

Beliau berkata CTIM juga mencadangkan kajian menyeluruh untuk menilai kebolehlaksanaan sistem cukai bersatu yang menggabungkan cukai transaksi dan penggunaan.

 

“Kajian itu harus melibatkan perundingan industri dengan pihak berkepentingan dan mempertimbangkan pembelajaran utama daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 1.0 sebelum ini,” ujarnya.

 

Kerajaan harus mempertimbangkan cadangan yang menyediakan insentif cukai dan pilihan pembiayaan untuk perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mengguna pakai tenaga boleh diperbaharui (RE), amalan bangunan hijau dan langkah kecekapan tenaga.

 

Beliau juga menjangkakan kerajaan akan memperkenalkan insentif bersasar untuk PKS, seperti kadar cukai korporat konsesi khas, seperti yang dilihat dengan Zon Kewangan Khas Forest City.

 

"Selain itu, kami menjangkakan cadangan mungkin termasuk potongan cukai dua kali untuk perbelanjaan hijau, skim pembiayaan, dan sokongan digital untuk PKS," jelasnya. - DagangNews.com