KPower meterai perjanjian pembelian tenaga solar PV dengan TNB | DagangNews Skip to main content

KPower meterai perjanjian pembelian tenaga solar PV dengan TNB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - KPower Berhad menerusi anak syarikatnya, PKNP KPower Suria Sdn. Bhd. (PKSSB) telah memeterai perjanjian pembelian tenaga solar fotovoltan (PPA) berskala besar dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

 

Perjanjian yang ditandatangani pada 19 Ogos 2021 itu berhubung program solar yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga di mana PKSSB akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendali dan menyelenggara kemudahan pusat jana tenaga solar fotovoltan dengan kapasiti 50MWa.c. yang terletak di Bebar, Pekan, Pahang.

 

“PPA itu menggariskan kewajipan PKSSB dan TNB untuk menjual dan membeli tenaga yang dihasilkan oleh kemudahan tersebut kepada TNB bagi jangka waktu 21 tahun dari tarikh operasi komersial, mengikut terma dan syarat yang disepakati sebagaimana ditetapkan dalam PPA,” jelas KPower dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia. 

 

Menurut kumpulan, perjanjian itu dijangka tidak mendatangkan impak material serta-merta ke atas perolehan, aset bersih, modal saham dan pegangan saham oleh pemegang saham besarnya. 

 

Namun, PPA itu dijangka menyumbang impak positif ke atas perolehan masa depan KPower.

 

Pada 15 Mac lalu, KPower memaklumkan bahawa kumpulan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah disenarai pendek dalam langkah pembidaan bagi program solar berskala besar tersebut.

 

Sebagai rekod, KPower memiliki 95% kepentingan di dalam PKSSB

 

Setakat 2.13 petang, harga saham KPower tidak berubah pada kadar 72 sen, sementara saham TNB menyusut 2 sen kepada RM9.88. - DagangNews.com