KUALA LUMPUR 25 April - AmInvestment Bank Research menjangkakan Mah Sing Group Bhd mencatatkan untung bersih teras melebihi RM50 juta pada 1QFY24 didorong jualan baharu daripada M Minori, Meridin East, M Senyum dan M Nova.
Katanya, momentum jualan kumpulan itu bagi suku berkenaan juga diunjur berkembang sebanyak 10% dari tahun ke tahun disokong oleh permintaan hartanah yang semakin meningkat di Johor dan Lembah Klang.
Firma penyelidikan itu berkata, nisbah penggearan bersih kumpulan itu adalah rendah iaitu 0.08x dan kekuatan kewangannya menyediakan ruang yang mencukupi untuk perolehan tanah pada masa hadapan.
"Mah Sing kini sedang dalam rundingan dengan beberapa pihak untuk pengambilalihan tanah di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor bagi pembangunan hartanah kediaman dan perindustrian.
"Tanah perindustrian yang baru diperolehi di Sepang dijadualkan untuk pelancaran menjelang akhir FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
AmInvestment berkata, dengan mengambil kira margin lebih tinggi dan tempoh pembinaan yang lebih pantas untuk hartanah perindustrian, margin operasi kumpulan dijangka meningkat melebihi 18% bermula FY25 didorong sumbangan sulung daripada tanah perindustrian di Sepang.
Katanya, segmen eksport menyumbang 40% kepada pendapatan segmen pembuatan plastik Mah Sing dengan Indonesia, Thailand dan Filipina menjadi destinasi utama.
"Mah Sing telah mengumumkan perjanjian usaha sama dengan rakan kongsi pengedaran plastik Indonesia pada Januari 2024 untuk menembusi pasaran palet plastik yang semakin berkembang di negara itu.
"Fasa awal pengembangan ke Indonesia diunjurkan meningkatkan jumlah kapasiti pembuatan plastik Mah Sing sebanyak 10%.
"Kumpulan itu juga sedang giat meneroka peluang di Thailand dan Filipina, didorong oleh peningkatan permintaan untuk palet plastik di pasaran ini," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.47 sesaham. - DagangNews.com