Malaysia-Korea pacu ekonomi menerusi kerjasama dalam industri halal | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Korea pacu ekonomi menerusi kerjasama dalam industri halal

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Korea dijangka dapat dikembangkan menerusi kerjasama kedua-dua negara untuk memperluas tawaran produk dan perkhidmatan halal. 

 

Ini selepas Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Industri Halal Korea (KIHI) untuk meningkatkan pengeluaran halal. 

 

Dalam masa sama, kerjasama itu juga bertujuan menambah baik Perkhidmatan Hospitaliti Mesra Muslim (MFHS) ke arah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pembangunan ekosistem halal.

 

Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Norazman Ayob berkata, terdapat permintaan kukuh daripada produk halal dan MFHS kerana lonjakan pengunjung Islam ke dalam negara-negara bukan Islam seperti Jepun, China dan Korea Selatan. 

 

“Berbalik kepada tahun 2019, pelancong Islam ke dalam Korea Selatan telah melepasi angka 1 juta, di mana dipacu oleh Organisasi Pelancongan Korea (KTO) yang mengamalkan standard Malaysia bagi infrastruktur MFHS di negara tersebut. 

 

“Saya gembira melihat HDC dan KIHI telah memulakan komitmen dalam memupuk kesedaran untuk menggalakkan lebih banyak pemain industri Korea mendapat pensijilan halal bagi pengeluar dan pengiktirafan MFHS untuk mereka yang terlibat dengan aktiviti perkhidmatan dalam rantaian nilai.

 

“Kami berharap kerjasama strategik ini akan membuka peluang perniagaan dalam kalangan pemain industri dengan lebih 170 syarikat Korea disasarkan dalam tempoh dua tahun ini, bermula daripada pengeluar hingga tempat makan dan spa, serta menjadikan Malaysia sebagai rujukan kepada latihan dan rundingan MFHS,” katanya dalam satu kenyataan.

 

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Ketua Pegawai KIHI, Dr. James Noah sambil disaksikan oleh Norazman bersempena penyertaan HDC secara maya di dalam Seoul Food & Hotel 2021.

 

Susulan daripada kerjasama itu, ia dijangka menghasilkan minimum 100 pekerja industri halal yang berpengetahuan serta bakal mengeksport bakat-bakat di dalam negara untuk memberi nilai tambahan kepada industri tersebut di Korea.

 

Selain daripada itu, sebanyak 120 syarikat Korea akan mendapat hak istimewa dengan pensijilan MFHS di dalam pengurusan perniagaan mereka, yang akan menjadi rakan perniagaan kepada syarikat Malaysia pada masa akan datang. 

 

Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan peluang pengambilan pekerjaan yang berkualiti seterusnya membawa industri halal ke peringkat antarabangsa dalam sektor yang mempunyai tambah nilai tertentu.

 

Kerjasama itu dijangka memperluas skop kolaborasi antara komuniti ekosistem halal di Malaysia dan Korea dalam waktu yang sama, sekali gus menyediakan peluang dalam ruang perniagaan baharu dan inovatif. - DagangNews.com