Maybank sasar pemberian Biasiswa ASEAN-Maybank kepada 25 pelajar menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Maybank sasar pemberian Biasiswa ASEAN-Maybank kepada 25 pelajar menjelang 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 April - Maybank berhasrat memberikan Biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) 2022 kepada 25 pelajar dari 10 negara ASEAN yang berkelayakan menjelang tahun 2025.

 

Program biasiswa yang melibatkan pelaburan kira-kira RM5 juta itu merupakan kerjasama Maybank dan Sekretariat ASEAN  dan adalah sebahagian daripada komitmen bank itu untuk melabur dalam bidang pendidikan bagi masa hadapan belia rantau ini.

 

AMS direka untuk memberi fokus kepada pelajar berkelayakan daripada keluarga berpendapatan rendah dengan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran sarjana muda di universiti terkemuka di rantau ASEAN. 

 

Bagi pengambilan pertama tahun ini, sejumlah tiga biasiswa ditawarkan dan akan bertambah kepada 10 menjelang 2025 dan seterusnya.

 

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa yang juga Pengerusi Yayasan Maybank, pihaknya berbesar hati untuk bersama-sama dengan Sekretariat ASEAN bagi melancarkan pengambilan pertama tahun ini bagi pelajar yang layak.

 

“Ia sejajar dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan menyokong salah satu daripada empat komitmen kemampanan utama dalam Pelan M25 kami yang berhasrat meningkatkan kehidupan sejuta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025.

 

"Maybank berharap program biasiswa AMS akan menggalakkan integrasi intra-ASEAN yang lebih besar dengan meningkatkan hubungan pendidikan di antara negara anggotanya dan kami berharap penerima menjadi pemacu perubahan dan pemimpin, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

maybank

 

Menerusi pengambilan pertama AMS 2022, ketiga-tiga biasiswa itu disediakan untuk mahasiswa tahun pertama yang akan ditempatkan di universiti awam terkemuka di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina

 

Pelajar boleh menjalani program pembelajaran tiga atau empat tahun  dalam bidang-bidang seperti Kewangan, Teknologi Maklumat, Psikologi, Ekonomi, Pemasaran, Undang-Undang, Sumber Manusia, Perbankan, Matematik, atau kursus berkaitan Kesediaan Masa Depan (Future Ready) seperti pengaturcaraan, pengekodan, reka bentuk kreatif, data dan sains.

 

Yayasan Maybank akan menyediakan pembiayaan untuk biasiswa, termasuk perlindungan penuh yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian, elaun untuk gaji dan penginapan bulanan, elaun menetap, kos penerbangan pergi-balik kelas ekonomi, faedah perubatan bersubsidi (pesakit luar) dan insurans perlindungan kemalangan, peruntukan untuk komputer riba, serta keperluan lain seperti visa, pemeriksaan kesihatan, saringan Covid-19 dan kos kuarantin.

 

Mereka yang berkelayakan untuk memohon adalah terdiri daripada rakyat daripada 10 negara anggota ASEAN, kelayakan akademik cemerlang dengan minimum CGPA 3.00 atau setara did peringkat pra-universiti selaun aktif di dalam kokurikulum. - DagangNews.com