MIDF Research jangka kerjasama dengan DP World beri kesan positif kepada Suria Capital | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka kerjasama dengan DP World beri kesan positif kepada Suria Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - MIDF Research menjangkakan kerjasama dengan DP World memberi peluang kepada Suria Capital Holdings Bhd menangani kos logistik Sabah yang tinggi selain membina rangkaian perkapalan serta pengembangan pangkalan kargo.

 

Katanya, Pelabuhan Sabah ketika ini bergelut dengan ketidakseimbangan perdagangan dengan kontena keluar adalah lebih kecil disebabkan aktiviti penjanaan kargo yang tidak mencukupi di negeri itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, negeri itu juga sedang mempertimbangkan penubuhan zon ekonomi bebas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sejajar dengan kepakaran dan kepakaran yang dimiliki DP World.

 

"Bagaimanapun, butiran perjanjian termasuk struktur ekuiti masih belum didedahkan. 

 

"Penjelasan lanjut diperlukan mengenai rancangan konkrit bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) terutama selepas mengambil kira senario semasa di mana pengendali utama memintas Pelabuhan Sabah disebabkan jumlah kargo yang terhad," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah Ports milik Suria Capital bergabung dengan DP World Dubai menguruskan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar

 

Menerusi kerjasama itu, DP World akan memudahkan pertumbuhan kapasiti pengendalian kontena pelabuhan kepada 1.25 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki)  menjelang 2025.

 

Pelaburan juga akan dibuat bagi mengoptimumkan aliran kerja, peningkatan digital untuk kecekapan operasi yang lebih besar, dan untuk meningkatkan ketersambungan pelabuhan.

 

MIDF Research menjangkakan prestasi Suria Capital dipertingkatkan asil sumbangan setahun penuh daripada kilang SK Nexilis dan Kibing Group, yang memulakan operasi pada awal 4QFY23.

 

Katanya, kedua-dua kilang itu dijangka menyumbang kira-kira 38,400 TEU setahun kepada kumpulan itu.

 

"Selain itu, jumlah kargo konvensional diramal meningkat berikutan peningkatan jumlah minyak pukal berikutan penyiapan jeti baharu di Terminal Minyak Teluk Sapangar (SBOT) menjelang 2QFY24, memandangkan jeti sedia ada menghampiri kapasiti maksimumnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham.- DagangNews.com