ISKANDAR PUTERI 1 Mac – MYStartup NXT, siri persidangan mikro oleh MYStartup, membuka tirai tahun 2024 di lokasi baharu, Iskandar Puteri, Johor.
Persidangan ini merangkumi sesi perkongsian mengenai strategi perniagaan termasuk perancangan serta peningkatan hasil, dan kisah inspirasi daripada usahawan tempatan, agensi kerajaan, pakar industri dan lain-lain.
Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), sebuah agensi focal point bagi startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah memainkan peranan penting dalam memacu MYStartup NXT, iaitu sebuah inisiatif sejajar dengan matlamat negara untuk membina sebuah ekosistem global, berkualiti tinggi, inklusif dan mampan.
Pada tahun 2023, MYStartup NXT telah berjaya dilaksanakan di empat buah lokasi, bermula dengan Cyberjaya diikuti dengan Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah. Program ini juga telah berjaya menarik lebih daripada 1,000 peserta secara keseluruhan.
Tahun ini, Johor telah dipilih sebagai lokasi pertama MYStartup NXT untuk terus merealisasikan matlamat negara iaitu mewujudkan lebih daripada 5,000 startup yang berkualiti menjelang 2025, dan menyediakan sokongan komprehensif yang diperlukan untuk mereka terus berkembang maju.
Ekosistem startup Johor kini berkembang pesat dan mengalami pertumbuhan yang ketara. Hal ini didorong oleh kedudukan geografi yang strategik, inisiatif kerajaan yang proaktif dan kumpulan bakat yang semakin berkembang.
Tambahan pula, lokasi Johor yang berdekatan dengan Singapura menjadikan negeri ini pintu gerbang yang strategik bagi startup untuk melebarkan dan mengukuhkan jaringan mereka, menjalin kolaborasi serta meningkatkan akses kepada bakat baharu.
Berdasarkan Global Startup Ecosystem Index Report, sebuah laporan tentang ekosistem global daripada StartupBlink, kedudukan Johor Bahru melonjak 404 anak tangga, sekali gus meraih tempat dalam kalangan 600 bandar terbaik di seluruh dunia pada tahun 2023 dan mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 1,000 bandar terbaik dunia.
Kedudukan Johor Bahru juga melompat sembilan anak tangga di Asia Tenggara, di mana ia menduduki tempat ke-13 dan mengekalkan kedudukannya sebagai ekosistem ke-3 aktif di Malaysia.
Dengan kerjasama Iskandar Investment Bhd (IIB), persidangan mikro ini akan menjadi sebuah platform menarik yang menawarkan peluang kepada bakal usahawan dan usahawan sedia ada untuk belajar, menjalin rangkaian dan mendedahkan diri mereka kepada dunia korporat, syarikat gergasi teknologi, pelabur serta pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memulakan dan meningkatkan perniagaan mereka.
“Dalam memenuhi mandat yang diberikan, MYStartup kekal komited untuk memperkasakan startup di negara ini, dan komitmen kami tidak mengenal sempadan. Kami akan terus menangani cabaran-cabaran di dalam ekosistem startup negara yang merangkumi kekangan modal, bakat dan pemangkin utama.
“Kami akan terus berdedikasi dalam merealisasikan potensi Malaysia sebagai sebuah negara hab teknologi dan inovasi, sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI, serta matlamat negara dalam menjadi antara 20 ekosistem startup global terbaik menjelang 2030.
"Di MOSTI, kami berpegang teguh kepada prinsip PRECISE, yang merangkumi intipati ekosistem berpaksikan rakyat, penyelidikan dan pembangunan, pembudayaan, pembinaan kapasiti, pelaburan dan ekosistem startup,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, berkata sebagai agensi focal point startup negara, perkembangan ekosistem startup negara yang kita dapat lihat sehingga kini merupakan sesuatu yang membanggakan.
“Kami tekad dalam memupuk inovasi melalui MYStartup NXT, yang mana menekankan peranan penting usaha erat dalam memupuk landskap keusahawanan yang mampan.
"Di Cradle, kami akan terus memperjuangkan ekosistem startup yang inklusif dan berimpak tinggi di seluruh negara melalui tiga tonggak utama – pengasas, pelabur dan pemaju teknologi.
"Sehingga kini, lebih daripada 100 startup yang berpangkalan di Johor telah disenaraikan dalam Portal MYStartup. Antaranya ialah DF Automation & Robotics (robotik), Materials in Works (climate tech), Sayur Kita Asia (agritech) dan Imagine AI (kecerdasan buatan).
"Bersama-samalah kita membina masa depan di mana startup Malaysia dapat berkembang, meningkatkan inovasi dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara kita,” tambah Norman.
“Iskandar Investment Berhad (IIB) berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi MYStartup di selatan. Sebagai pemaju induk Medini, IIB mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh startup dalam memacu pembangunan ekonomi.
Pengiktirafan Medini sebagai hab digital Johor, lokasi yang strategik dan infrastruktur yang lestari mengukuhkan lagi potensi bandar ini sebagai hab startup dan perusahaan dipacu teknologi.
“Bersama-sama dengan MOSTI melalui Cradle, kami komited untuk memanfaatkan potensi startup Malaysia. Kerjasama dengan Cradle membolehkan kami memupuk sebuah ekosistem yang dinamik di mana startup boleh berkembang maju, bekerjasama dan menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi rantau ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB Dato’ Idzham Mohd Hashim.
NXT Johor dimulakan dengan sesi panel yang bertajuk "Elevating Innovation: Igniting Diversity in Johor’s Startup Culture”, yang menampilkan wakil daripada Cradle, serta startup seperti Holistics Lab dan Start iiX. Terdapat juga sesi perkongsian daripada startup tempatan seperti Kestrl, Sayur Kita Asia dan Materials in Works.
Selain itu, sesi spotlight bertajuk “Tackling the Talent Challenge: From Skill Set to Mindset” yang mengetengahkan topik mengenai permintaan tenaga kerja pada masa depan serta kemahiran yang diperlukan untuk memupuk mentaliti dan cara kerja yang kondusif dan berinovasi, diikuti dengan dengan sesi fireside yang bertajuk “Ecosystem Resilience: Revolutionizing Johor through Collaborative Initiatives”.
Sila kunjungi laman web www.mystartup.gov.my untuk maklumat lanjut berkenaan MYStartup. - DagangNews.com