Pegawai kanan Grab sertai MAG sebagai Pengarah | DagangNews Skip to main content

Pegawai kanan Grab sertai MAG sebagai Pengarah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Malaysia Aviation Group (MAG) telah melantik Cheryl Goh Ching Ling sebagai Pengarah Bukan Eksekutif kumpulan dan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines Berhad (MAB).

 

Cheryl ketika ini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Pemasaran dan Kemampanan serta Ketua Pegawai Pemasaran Pengasas Grab Holdings Inc.

 

Mengulas mengenai pelantikan berkenaan, Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ahli Lembaga Pengarah berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Cheryl dalam menerajui masa depan kumpulan di samping memanfaatkan pengalaman beliau di dalam perdagangan dalam talian. 

 

“Sepanjang kerjaya beliau, Cheryl telah mengembangkan pemahaman mendalam tentang pengguna digital dan bagaimana membina perniagaan di sekitar mereka. Pelantikan beliau akan melonjakkan lagi visi kumpulan untuk menjadi sebuah kumpulan syarikat pelancongan utama global yang menumpukan kepada penyelesaian pelancongan menyeluruh yang amat bersesuaian.

 

“Dengan pelancaran Journify baru-baru ini, sebuah platform perjalanan dan gaya hidup bersepadu di bawah pusat keuntungan MAG ketiga - e-Commerce & Travel Services (sebelum ini dikenali sebagai Travel Solutions), kumpulan bersedia untuk mentransformasikan sebuah perniagaan penerbangan biasa kepada penyedia penyelesaian pelancongan yang holistik.

 

“Dua pusat keuntungan MAG lagi menumpukan kepada perniagaan daripada portfolio penerbangan dan perkhidmatan penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam peranan beliau di Grab, Cheryl membentuk strategi di sebalik pertumbuhan pengguna syarikat, pengembangan negara dan kepelbagaian perkhidmatan. 

 

Beliau juga memantau usaha pemasaran syarikat di seluruh rantau Asia Tenggara. 

 

Dalam masa sama, beliau juga mempunyai pengalaman dalam kepimpinan di ruangan digital selama sedekad, kebanyakannya dalam syarikat teknologi seperti MOL Global dan Friendster.

 

Cheryl juga pernah menerajui cabang digital The New Straits Times dan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Digital Kumpulan Nissan Malaysia. 

 

Beliau merupakan lulusan Ijazah Perdagangan dalam Ekonomi dan Pemasaran dari Curtin University dan melengkapkan Program Kepimpinan Eksekutif Harvard Business School pada tahun 2019. - DagangNews.com