Pekat peroleh kontrak RM115 juta bina loji solar di bawah CGPP | DagangNews Skip to main content

Pekat peroleh kontrak RM115 juta bina loji solar di bawah CGPP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pekat Group Bhd menerusi Pekat Solar Sdn Bhd memperoleh kontrak RM115 juta daripada MF Solar Tronoh Sdn Bhd bagi membina dan mentauliahkan loji solar fotovoltaik 29.99 megawatt AC (MWac) di Kinta, Perak.

 

Kumpulan itu berkata, loji itu adalah sebahagian daripada Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang membolehkan pengguna korporat membeli tenaga solar secara maya daripada pemaju solar.

 

"Projek yang dianugerahkan itu akan bermula pada suku keempat 2024, dengan tarikh operasi komersial menjelang 31 Disember 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan sehingga tamat kontrak.

 

Ia bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kesan ke atas saham, modal dan pegangan saham besar pemegang saham syarikat tersebut.

 

Pekat tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak.

 

Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku.- DagangNews.com