Pendapatan, untung Datasonic diunjur naik jika pasport sah laku 10 tahun dikeluarkan kerajaan - RHB IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan, untung Datasonic diunjur naik jika pasport sah laku 10 tahun dikeluarkan kerajaan - RHB IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Julai - RHB Investment Bank menjangkakan pendapatan dan untung Datasonic Group Berhad bakal meningkat dalam tempoh empat hingga lima tahun mendatang sekiranya pasport antarabangsa Malaysia dengan tempoh sah laku selama 10 tahun dikeluarkan kerajaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perubahan dasar tempoh sah laku passport itu dilihat positif buat Datasonic disebabkan oleh kemungkinan harga purata jualan (ASP) yang lebih tinggi.

 

"Sekiranya pilihan untuk tempoh sah laku selama 10 tahun ini mula ditawarkan pada 2025, kami percaya kebanyakan rakyat Malaysia berkemungkinan akan memilih tempoh sah laku yang lebih lama meskipun kosnya lebih mahal. 

 

"Hal ini demikian kerana kos untuk setahun akan jatuh lebih murah dan tidak perlu lagi melalui proses pembaharuan pasport yang leceh.

 

"Akibatnya, Datasonic Group patut meraih hasil dan keberuntungan lebih tinggi dalam 4-5 tahun seterusnya, jika ASP untuk membekalkan buku pasport dengan halaman tambahan menaik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Datasonic terima lima sambungan kontrak KDN berjumlah RM181.66 juta

 

Menurut RHB Investment, perubahan dasar kepada tempoh sah laku pasport mungkin menaikkan halangan kemasukan ke bidang ini dan/atau menyebabkan kontrak dilanjutkan untuk tempoh lebih lama.

 

"Perkara ini mungkin menghalang kemasukan syarikat pesaing lain memandangkan pelibatan dalam bidang ini memerlukan perbelanjaan modal (capex) yang tinggi dan premium risiko juga meningkat ekoran jumlah pesanan yang tidak menentu semasa tempoh peralihan," jelasnya.

 

data

 

Firma penyelidikan itu dalam pada masa sama mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) 68 sen sesaham, potensi kenaikan Harga saham 30% dan kadar hasil dividen sekitar 5% untuk tahun kewangan 2025 (FY25F) (Mac). 

 

"Kami melaksanakan analisis senario mengenai potensi impak terhadap perolehan FY26F dan TP kami, dengan andaian yang berikut i) 80% daripada jumlah pasport tahunan sebanyak 2 juta -2.5 juta memilih pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun dan ii) mengambil kira kenaikan ASP dan kos 20-60%. 

 

"Kami memperoleh kemungkinan perubahan perolehan FY26F antara -1.3% sehingga +15.5% dan lingkungan TP RM0.46-RM0.66 (berdasarkan P/E FY26F 15–20x)," ujarnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lanjutan kontrak daripada KDN dijangka tingkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Datasonic

 

Walau bagaimanapun, RHB Investment juga menjangkakan kos akan meningkat kerana penghasilan halaman data tambahan melibatkan proses yang lebih rumit dan mesin menjadi lebih cepat haus dan lusuh. 

 

Katanya, untuk tahun 2030-2034, jumlah pembaharuan passport mungkin berkurangan lebih separuh memandangkan pasport sah untuk tempoh lebih lama, sebelum kembali ke paras normal mulai tahun 2035.

 

"Menurut laporan berita Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen sudah sedia untuk mengeluarkan pasport Malaysia dengan pilihan untuk membaharui selama 10 tahun (pada harga lebih tinggi), di samping pilihan tempoh sah laku yang ditawarkan sekarang iaitu selama lima tahun. 

 

"Beliau berkata demikian semasa merasmikan pembukaan pejabat pasport Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Namun begitu, tarikh pelaksanaannya masih belum diputuskan dan akan diumumkan kemudian," katanya.- DagangNews.com