Prestasi jualan memberangsangkan, EPS Aemulus Holdings ditingkatkan hingga 10% - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Prestasi jualan memberangsangkan, EPS Aemulus Holdings ditingkatkan hingga 10% - CGS CIMB

Aemulus Holdings Bhd (Aemulus)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi syarikat semikonduktor, Aemulus Holdings Bhd (Aemulus) ditingkatkan hingga 10% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023.

 

CGS-CIMB Research berkata, peningkatan itu dibuat dengan menilai kepada prestasi jualan yang lebih tinggi bagi produk penguji frekuensi radio (RF) dan penguji gambar CMOS (CIS).

 

"Kami tingkatkan EPS FY21-23 sebanyak 5% hingga 10% bagi mencerminkan jumlah jualan yang lebih tinggi terhadap produk RF dan CIS susulan kemenangan kontrak baharu.

 

"Kumpulan itu berjaya menguasai pasaran CIS selepas memperoleh kontrak selama tiga tahun bagi membekalkan produk berkenaan bagi pelanggan China.

 

"Kami maklum bahawa pelanggan baharu itu adalah pembekal barangan siap kepada peneraju pembekalan CIS di peringkat global," jelas CGS-CIMB Research.

 

Kumpulan penyelidikan industri, Yole Developpement mengunjurkan pasaran CIS di seluruh dunia akan mencatatkan jualan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 5.4% bagi tempoh 2020 hingga 2026 kepada AS$28.4 bilion.

 

Jangkaan itu didorong oleh permintaan terhadap industri automotif, keselamatan dan kamera.

 

Secara keseluruhannya, CGS-CIMB Research memberi keyakinan penuh bahawa produk CIS akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan Aemulus selain produk RF.

 

Bagi rekod, Aemulus mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 3% pada suku ketiga tahun kewangan September 2021 berbanding suku sebelumnya.

 

Prestasi tersebut dipacu oleh penjualan yang lebih tinggi bagi produk RF 7600 dari Korea dan produk CIS dari Taiwan.

 

Pencapaian tersebut turut membantu syarikat berkenaan mengambangi prestasi yang lebih rendah bagi pasaran China.

 

CGS-CIMB Research mengakalkan saranan 'tambah' saham Aemulus dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi bernilai RM1.24.

 

"Jumlah jualan yang lebih tinggi berbanding jangkaan serta kemenangan kontrak pelanggan baharu menjadi pemangkin kepada penilaian semula prestasi," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com