Prof Mohd Said Bani dinobat sebagai Komunikator Terbaik IABC Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Prof Mohd Said Bani dinobat sebagai Komunikator Terbaik IABC Asia Pasifik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pengasas dan Pengarah Urusan bzBee Consult, Prof Mohd Said Bani CM Din dinobatkan sebagai Komunikator Terbaik (COTY) IABC Asia Pasifik bagi kategori Profesional Komunikasi Kanan.

 

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang komunikasi strategik selain menceminkan tahap kecemerlangan baharu dalam bidang komunikasi di rantau ini. 

 

Sebagai pemimpin tersohor dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi, Bani sentiasa mempamerkan tahap komunikasi yang berkesan sepanjang kerjayanya secara konsisten. 

 

Selaku Presiden Persatuan Perhubungan Awam & Komunikasi (PRCA) Malaysia, beliau sering menekankan pentingnya komunikasi strategik, etika, dan keterangkuman dalam komunikasi bagi memupuk hubungan yang bermakna dalam pelbagai sektor.

 

Beliau berkata, pengiktirafan itu menggariskan semula kekuatan transformasi komunikasi dalam dunia yang kompleks dan saling berkait.  

 

"Saya menyifatkan pencapaian ini sebagai kejayaan bersama setiap warga BzBee - kesetiaan, kreativiti, dan sokongan mereka merupakan faktor penting. 

 

"Sebagai pengamal perhubungan awam dan  komunikasi, kita mesti sentiasa memastikan kewibawaan dalam membentuk naratif, mempengaruhi persepsi, dan menjalin hubungan dengan masyarakat terutamanya kumpulan sasar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengiktirafan itu merupakan anugerah ketiga yang diterima Bani dalam tempoh setahun. Pada Disember 2023, beliau menerajui kemenangan bzBee Consult bagi Kempen Komunikasi Global Terbaik bagi ‘Sarawak Tourism Board’, yang dianugerahkan oleh World Communications Forum Association (WCFA) di Davos, Switzerland. 

 

Pada awal tahun ini, beliau turut menerima Anugerah Pemimpin Terbaik dalam bidang Perhubungan Awam bagi Rantau Asia Pasifik oleh WCFA dan seterusnya dilantik sebagai salah seorang Lembaga Penasihat Antarabangsa bagi WCFA yang berpangkalan di Davos.

 

Sementara itu, Pengerusi IABC Asia Pasifik, Kane Errol Choa memuji kecemerlangan Bani di atas komitmennya dalam bidang komunikasi yang mencerminkan piawaian tertinggi profesion itu. 

 

"Usahanya bukan hanya memajukan organisasi miliknya tetapi juga meningkatkan bidang komunikasi strategik di seluruh rantau Asia Pasifik," katanya.- DagangNews.com