Purata trafik harian Lebuhraya WCE dijangka mencecah 150,000 kenderaan menjelang Hari Raya Aidilfitri | DagangNews Skip to main content

Purata trafik harian Lebuhraya WCE dijangka mencecah 150,000 kenderaan menjelang Hari Raya Aidilfitri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjangkakan jumlah purata trafik harian mencecah 150,000 kenderaan bermula pada 6 April 2024 apabila orang ramai pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Pelbagai langkah keselamatan akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik termasuk halangan melakukan sebarang kerja pembinaan serta penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong lebuh raya sehingga 17 April 2024 kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan.

 

Pihak lebuh raya juga akan menyediakan jentera seperti  trak tunda di beberapa lokasi bagi memberikan bantuan sekiranya berlaku sebarang insiden luar jangka, penambahan kakitangan sokongan serta pasukan bertindak kecemasan (ERT) serta pegawai peronda yang mencukupi di sepanjang lebuh raya untuk memberi sebarang bantuan. 

 

Lebuhraya WCE juga menyediakan kawasan hentian sebelah dengan kemudahan seperti tandas, surau dan kiosk tambah nilai di setiap plaza tol selain pondok teduhan motosikal. 

 

Buat masa ini, stesen minyak masih belum beroperasi di sepanjang jajaran Lebuhraya WCE dan pengguna dinasihatkan untuk mengisi minyak secukupnya sebelum memasuki lebuh raya atau ke stesen minyak berhampiran susur persimpangan lebuh raya itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix mengingatkan pengguna agar mengutamakan keselamatan diri serta sentiasa mengamalkan cara pemanduan berhemah.

 

"Kita semua boleh menyumbang untuk menjadikan lebuh raya lebih selamat untuk semua," katanya dalam satu kenayatan, hari ini.

 

Lebuhraya WCE sentiasa komited bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, dan ingin menyeru semua pengguna untuk menjadikan keselamatan jalan raya sebagai komitmen dan tangungjawab bersama.

 

Pada masa sama, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik selain mematuhi had laju serta mengekalkan jarak selamat dan memakai tali pinggang keledar semasa pemanduan.

 

Mereka juga dinasihat untuk sentiasa berhati-hati terhadap sebarang bahaya yang mungkin berlaku, rehat secukupnya dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.- DagangNews.com