Ramssol catat antara keputusan suku tahun terbaik disokong jualan kukuh segmen PeopleTech - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Ramssol catat antara keputusan suku tahun terbaik disokong jualan kukuh segmen PeopleTech - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Ramssol Group Bhd berjaya mencatatkan antara prestasi suku tahun terbaik setakat ini didorong oleh jualan kukuhnya dalam segmen teknologi insan (PeopleTech)  yang diterajui pengurusan modal insan (HCM).

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pendapatan teras suku pertama kumpulan itu adalah sebanyak RM4.2 juta dan ia mengtasi unjuran tahun FY24 sebanyak 47%.

 

Katanya, perolehan kumpulan itu pada suku pertama meningkat sebanyak 124% dari tahun ke tahun disokong jualan rumusan HCM yang kukuh.

 

"Ia disokong oleh rundingan dalam segmen transformasi digital, pemetaan proses perniagaan dan pengedaran lesen HCM di Malaysia dan Thailand.

 

"Pertumbuhan perolehan adalah kukuh di kedua-dua negara dengan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 179% manakala Thailand mencapai perkembangan 230% dari tahun ke tahun.

 

"Sementara itu terdapat juga pengembangan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) yang dipercayai daripa keuntungan tinggi perniagaan pengedaran lesen HCM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat kepada RM4.17 juta berbanding RM2.1 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan melonjak 123.48% kepada RM14.42 juta daripada RM6.45 juta pada 1QFY24 berikutan jualan yang lebih tinggi di Malaysia dan Thailand, khususnya dalam rumusan HCM dan aplikasi teknologi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebagai pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dalam talian domestik terbesar untuk motosikal, mereka yakin terhadap prospek segmen AutoTech bagi FY24.   

 

"Kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan pelbagai inisiatif di bawah segmen PeopleTech dan MarketingTech pada separuh kedua tahun ini," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 50 sen sesaham.- DagangNews.com