RHB Investment semak turun ramalan pendapatan FY24 IGB REIT sebanyak 2% kesan penyusunan semula Mid Valley Megamall | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun ramalan pendapatan FY24 IGB REIT sebanyak 2% kesan penyusunan semula Mid Valley Megamall

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - RHB Investment menyemak turun ramalan pendapatan IGB Real Estate Investment Trust (REIT) sebanyak 2% bagi FY24 kesan daripada kerja-kerja penyusunan semula bahagian dalaman pusat beli-belah Mid Valley Megamall.

 

Katanya, kadar penghunian pusat beli-belah itu telah menurun kepada 89% buat sementara waktu kesan daripada kerja-kerja yang sedang dijalankan ketika ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerja-kerja penyusunan semula kawasan seluas 200,000 kaki persegi yang sebelum ini dihuni oleh Metrojaya dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

 

"Walaupun terdapat potensi kesan kepada penyewaan, kami berpendapat kenaikan jangka panjang kepada kadar sewa akan mengatasi kos jangka pendek yang agak kecil, terutamanya kerana kadar penghunian pusat beli-belah biasanya penuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM99.61 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat RM96.23 daripada suku sama tahun lalu.

 

Hasil pada suku tersebut meningkat kepada RM162.56 juta berbanding RM154.62 juta pada 1QFY23.

 

Pendapatan hartanah bersih pada suku semasa meningkat 4.8% kepada RM124.2 juta daripada suku yang sama pada 2023.

 

RHB Investment berkata, pada suku pertama tahun ini, pendapatan kasar sewa bulanan Mid Valley berjumlah RM19.80 sekaki persegi  (2023: RM16.28 sekaki persegi), manakala pendapatan sewa The Gardens Mall meningkat kepada RM16.09 sekaki persegi (2023: RM15.59 sekaki persegi).

 

"Kami tidak menjangkakan risiko yang ketara terhadap kadar penghunian, dengan 22% hingga 31% kawasan boleh disewa besih (NLA) akan diperbaharui tahun ini untuk kedua-dua pusat membeli-belah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.03 sesaham. - DagangNews.com