Saham Affin Bank melonjak, didorong laporan Sarawak hampir peroleh pegangan utama | DagangNews Skip to main content

Saham Affin Bank melonjak, didorong laporan Sarawak hampir peroleh pegangan utama

KUALA LUMPUR 9 Julai - Saham Affin Bank Bhd meningkat 5.8% atau 15 sen kepada RM2.75 pada dagangan awal hari ini, berikutan kerajaan Sarawak semakin hampir mengambil alih pegangan utama bank itu.

 

Pada masa penulisan ini, kira-kira 2.2 juta saham telah bertukar tangan, hampir dua kali ganda daripada purata jumlah dagangan harian kaunter.

 

Pada hari Sabtu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan, akan ada majlis menandatangani rasmi bagi Sarawak untuk memperoleh pegangan utama dalam "sebuah bank" - yang difahamkan secara meluas sebagai Affin Bank Bhd - pada 19 Julai 2024.

Beliau dalam satu sidang akhbar bagi sebuah acara di Kuching, pada 5 Julai 2024 berkata, Sarawak bersedia untuk mengambil alih blok utama saham sebuah bank, yang akan membuka jalan untuknya menjadi pemain dominan dalam landskap perbankan Malaysia, menurut Dayak Daily.

 

Sementara itu, The Edge — memetik sumber — melaporkan dalam terbitan 1 Julai 2024, rancangan kerajaan Sarawak untuk mengambil alih kepentingan utama dalam Affin Bank daripada pemegang saham utama berkemungkinan dimeterai pada bulan ini.

 

Pada masa ini, pemegang saham terbesar Affin Bank ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan 28.88% kepentingan.

 

Difahamkan bahawa Sarawak akan mengambil alih keseluruhan 20% pegangan Boustead Holdings Bhd dalam Affin Bank, serta sebahagian daripada pegangan LTAT. 

 

Boustead, yang dimiliki sepenuhnya oleh LTAT, kini merupakan pemegang saham ketiga terbesar bank itu.

 

Pemegang saham kedua terbesar bank itu ialah Bank of East Asia Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, yang memegang 23.93% kepentingan. - DagangNews.com