MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
KETIKA pasaran saham Bursa Malaysia ditutup Jumaat lalu, kaunter Serba Dinamik Holding Berhad berada di paras 60.5 sen sesaham, menghampiri harga semasa syarikat itu mula mengadakan tawaran awam permulaan (IPO) dahulu.
Masih tiada perkembangan terkini membabitkan isu audit yang dibangkitkan oleh KPMG, yang masih ditunggu-tunggu bagi memuktamadkan laporan penyata kewangan sebelum 30 Jun ini.
Namun, di sebalik kejatuhan harga saham syarikat Serba Dinamik dan syarikat berkaitan dengan , Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah seperti Kumpulan Powernet dan Sarawak Consolidated Industries Berhad dalam tempoh 3 minggu boleh menjadi suatu bentuk tarikan kepada para pelabur.
Pada harga 60.5 sen sesaham, ia adalah paras sangat `mampu milik’ terutama yang bermodal kecil sebanyak RM10,000 atau RM20,000 di dalam akaun CDS mereka.
Tentunya ia adalah titik pernilaian yang cukup menarik untuk para pelabur meningkatkan pegangan saham mereka di kaunter tersebut.
Menurut firma penganalisis pasaran saham UOB Kay Hian Malaysia Research, walaupun Serba Dinamik dihimpit dengan masalah audit bagi tahun kewangan berakhir 2020, harga semasa bagi kaunter tersebut sudah mengambil kira faktor itu.
Dalam nota kepada pelanggannya, firma itu telah menyarankan supaya ‘pegang’ saham Serba Dinamik dengan sasaran harga baharu 70 sen dan mengekalkan pandangan `neutral’ terhadap pertikaian antara syarikat dengan auditor luarannya, KPMG.
“Semua perkara negatif telah diambil kira, melainkan KPMG meletak jawatan, para pemilik melupuskan saham mereka atau auditor bebas menyatakan pendapat berbeza.
“Bagaimanapun, pemangkin kepada penarafan semula yang diperlukan iaitu kajian semula audit pihak ketiga yang positif dan aliran tunai lebih baik, akan mengambil masa. Kami telah menaraf turun semua unjuran perolehan kami, dengan menjangkakan pembiayaan jangka pendek mungkin terjejas,” kata firma tu.
UOB Kay Hian Malaysia Research menyatakan Serba Dinamik telah memberi maklum balas kepada KPMG pada 6 Mei dan setakat akhir Mei, KPMG belum membuat susulan.
Walaupun begitu, pergerakan masa hadapan harga saham tersebut bergantung kepada risiko yang tertentu seperti hasil pernilaian auditor luaran bebas, ujar penganalisis itu lagi dalam pelaporan kajian yang dikeluarkan olehnya.
Berdasarkan pemerhatian DagangNews, minggu depan bakal menjadi penentu untuk pergerakan harga saham bagi kaunter saham tersebut.
Menurut seorang remisier pasaran saham yang enggan dinamakan, kemungkinan ada perkembangan positif berkaitan isu yang melanda syarikat Serba Dinamik.
“Serba Dinamik syarikat yang besar dan memiliki perniagaan berkaitan perkhidmatan minyak dan gas di 22 negara termasuk 2000 pekerja menjamin keuntuhan syarikat yang mulai disenaraikan pada 2017.
“Pastinya Dato Karim termasuk semua ahli lembaga pengarah mempunyai ramuan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini demi pihak berkepentingan” katanya lagi.
Jumaat lalu juga menyaksikan pemegang saham ketiga terbesar syarikat Pangeran Datuk Awang Daud Awang Putera mengeluarkan kenyataan rasmi berikutan tindakannya menjual 8.5 juta sahamnya pada Khamis.
Beliau menjadi perhatian para pelabur bila menjual 8.5 juta sahamnya di pasaran terbuka pada purata harga 64.02 sen yang bersamaan dengan 0.23% pegangan sahamnya.
Awang Daud masih memiliki 66.79 juta saham atau 1.8% kepentingan, sekali gus menepis spekulasi pasaran bahawa langkah penjualan sahamnya semalam, kononnya beliau akan meninggalkan rakan baiknya, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah.
BACA : Pemegang saham ketiga terbesar tiada hasrat tinggalkan Serba Dinamik
Awang Daud merupakan pengarah bukan eksekutif bukan bebas syarikat penyedia minyak dan gas bersepadu global itu, dalam kenyataan rasminya lewat petang Jumaat berkata, ia hanyalah langkah taktikal `margin call', bukan petanda beliau meninggalkan syarikat.
Pemerhati industri menanti langkah seterusnya pengurusan Serba Dinamik terutama hal berkaitan pelantikan firma audit bebas antarabangsa bagi meneliti dapatan KPMG.
“Minggu depan kita menjangkakan ada perkembangan terbaru daripada Serba Dinamik dalam usaha menyelesaikan kemelut ini bagi mengembalikan keyakinan para pelabur dan pemegang saham syarikat,” kata beliau.
Sementara itu, bagi anda yang ada akaun CDS bolehlah menilai sendiri prospek Serba Dinamik buat masa ini, dan ingat, masih ramai penganalisis ekonomi berpandangan positif bahawa konglomerat minyak dan gas ini akan keluar dari isu sekarang, tidak lama lagi. Ketika itu, anda sudah menjadi antara pemegang saham syarikat. Tiada rugi...
Merrepak sekadar mencadangkan sahaja ya, bukan memberi apa-apa jaminan. Akaun CDS peribadi tidak aktif pun. - DagangNews.com
Serba Dinamik perjelas isu tukar juruaudit
Serba Dinamik jadi sasaran?
Serba Dinamik lesap RM315 bilion minggu lalu
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Sweet Caroline oleh Neil Diamond berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.