Sektor PMKS tanggung kerugian berjumlah RM40.7 bilion akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sektor PMKS tanggung kerugian berjumlah RM40.7 bilion akibat COVID-19

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 


KUALA LUMPUR 29 Julai - Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun lalu menanggung kerugian sehingga RM40.7 bilion berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ketat di seluruh negara.

 

Malah, ia merupakan kerugian terbesar pernah dialami sektor itu setakat ini, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Beliau berkata, ia secara tidak langsung menjadi petunjuk kukuh bahawa para usahawan terjejas kerana
tidak dapat menjalankan perniagaan akibat pelaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak ini.

 

"Berdasarkan 1.15 juta PMKS yang berdaftar di seluruh negara pada masa ini, kerugian itu bermakna, setiap syarikat menanggung penurunan purata pendapatan berjumlah RM35,000 pada 2020.

 

"Keadaan itu turut memberi kesan kepada aspirasi negara untuk meningkatkan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) PMKS dan nilai eksport, masing-masing kepada 50 dan 30% pada 2030 di bawah Dasar Keusahawanan Nasional," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada Selasa, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengemukakan kepada kerajaan cadangan SOP yang diperketatkan untuk membantu mempercepat pembukaan perniagaan secara selamat, terutama bagi kategori pertama ditutup, terakhir dibuka.

 

SOP diperketatkan itu menyarankan tumpuan kepada 6 aktiviti ekonomi iaitu makanan dan minuman (makan dalam premis), pusat beli-belah, kedai jam, perkhidmatan perawatan kaki dan rias kuku (perkhidmatan dandanan), kedai solek/salun kecantikan dan kedai gunting rambut/salun rambut.

 

Menurut MEDAC, hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti itu dimiliki usahawan wanita iaitu antara golongan paling terjejas akibat PKP yang dilaksanakan di seluruh negara.

 

Berdasarkan angka terkini daripada Jabatan Perangkaan, sumbangan KDNK sektor PMKS merosot lebih 7% peratus tahun ke tahun kepada RM512.8 bilion tahun lalu berbanding RM553.5 bilion pada 2019, sesuatu yang janggal kerana pertumbuhan PMKS sentiasa lebih tinggi berbanding sektor bukan PMKS sejak 15 tahun lalu.

 

Wan Junaidi berkata, kawalan pergerakan secara dasarnya bukan lagi merupakan jawapan kepada masalah pandemik ini. 

 

Sebaliknya, ujar beliau, semua pihak perlu menerima hakikat untuk menjalani kehidupan dalam keadaan COVID-19 dan mencari penyelesaian seimbang dalam hal ini. 

 

"Ini adalah faktor mengapa kementerian saya telah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang
diperketatkan agar kita boleh segera membuka semula aktiviti ekonomi, khususnya bagi kategori bukan perlu,” katanya. - DagangNews.com