Selepas tersenarai di Bursa Malaysia, CTOS Digital beli kepentingan RAM Holdings | DagangNews Skip to main content

Selepas tersenarai di Bursa Malaysia, CTOS Digital beli kepentingan RAM Holdings

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - CTOS Digital Berhad membuat pengambilalihan ekuiti pertama selepas disenaraikan di Bursa Malaysia pada 19 Julai lalu, menerusi pembelian kepentingan minoriti di dalam RAM Holdings Berhad (RAM).

 

Pengambilalihan itu melibatkan pelaburan bernilai RM10.1 juta, yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, menurut CTOS Digital dalam satu kenyataan.

 

Ini selepas kumpulan memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan CIMB Bank Berhad untuk mengambil alih 462,500 saham biasa yang mewakili 4.6% kepentingan di dalam RAM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin berkata, RAM menerajui pasaran industri penarafan bon di Malaysia.

 

“Mereka juga menawarkan pelbagai penyelesaian bermula daripada penyelidikan ekonomi hingga pasaran hutang, data dan analisis serta perkhidmatan kemampanan.

 

Dennis Martin
Dennis Martin

 

“Kami percaya terdapat sinergi kukuh antara penawaran produk dan pangkalan pelanggan oleh kedua-dua syarikat yang akan kami capai pada sama akan datang,” katanya.

 

Pengambilalihan kepentingan itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham CTOS Digital atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

 

Langkah itu dijangka selesai pada tarikh sama pemeteraian SPA berkenaan. - DagangNews.com