Sistem panggilan kecemasan baharu Malaysia NG999 diperkenalkan, berteknologi AI | DagangNews Skip to main content

Sistem panggilan kecemasan baharu Malaysia NG999 diperkenalkan, berteknologi AI

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Julai - Sistem panggilan kecemasan baharu NG999 hari ini dilancarkan, disifatkan menepati standard dunia sebagai sistem digital strategik bersepadu yang akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat berkaitan.

 

Sistem baharu ini menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan serta masa tindak balas yang menambah baik bantuan kecemasan di seluruh negara.

 

Penambahbaikan sistem bantuan kecemasan di Malaysia dilaksanakan seiring dengan perubahan secara menyeluruh ekoran peningkatan penggunaan peranti pintar dan mudah alih.

 

Pelaksanaan sistem NG999 bertaraf dunia ini bergerak selari dengan amalan terbaik antarabangsa terkini seperti European Emergency Number Association NG112 dan National Emergency Number Association NG911 di Amerika Utara.

 

999

 

NG999 juga bakal memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.

 

Teknologi ini bagi memastikan petugas kecemasan boleh membuat tindakan yang lebih pantas pada saat saat genting.

 

Berdasarkan pengalaman pelbagai agensi kerajaan, penguat kuasa undang-undang, petugas bantuan kecemasan dan TM, peningkatan perkhidmatan panggilan kecemasan ini bukan hanya dari aspek teknologi tetapi turut menekankan komitmen TM dalam melindungi serta berkhidmat untuk rakyat.

 

Telekom Malaysia (TM) sebagai pembangun NG999 tersebut, juga akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto dan video untuk pengguna berdaftar.

 

Ini akan meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, yang sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan.

 

TM dan Kerajaan Malaysia hari ini memeterai perjanjian untuk membangunkan dan mengendalikan sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services 999 (NG999). Ini bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999) sedia ada.

 

 

iktisad

 

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim, disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris.

 

Sementara itu Amar Huzaimi berkata, NG999 adalah satu inisiatif untuk menaik taraf MERS999 sedia ada, yang bakal memberikan bantuan kecemasan yang lebih cekap dan pantas.

 

“Peranan menyeluruh TM akan meliputi infrastruktur rangkaian dan platform, pengurusan panggilan, dan perkhidmatan sokongan lain, membolehkan kami memberikan sokongan berterusan kepada orang awam dan petugas bantuan kecemasan.

 

"Peluang untuk menaik taraf perkhidmatan kecemasan kami adalah satu lagi pencapaian dalam komitmen TM terhadap Digital Malaysia dengan memanfaatkan kemajuan kecerdasan buatan (AI), mencerminkan aspirasi kami untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” ujarnya. - DagangNews.com