PUTRAJAYA 9 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan penyiasatan berhubung isu Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp hari ini.
"Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut.
"Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"Perlu dijelaskan bahawa SPRM tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan kerana perkara-perkara tersebut telah pun dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini malam ini.
SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Pada 4 Julai lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
Ia adalah antara isu yang didedahkan oleh PAC setelah melalui prosiding yang dijalankan selama sembilan bulan.
Pelaburan yang dilakukan oleh HRD Corp juga bernilai RM3.84 bilion pada nilai pasaran sehingga Mac 2024.
Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). - DagangNews.com