Stesen Caltex di R&R Ayer Keroh terima Pensijilan Platinum daripada GreenRE | DagangNews Skip to main content

Stesen Caltex di R&R Ayer Keroh terima Pensijilan Platinum daripada GreenRE

KUALA LUMPUR 11 April - Chevron Malaysia Limited baru-baru ini telah menerima pengiktirafan penting bagi dua stesen Caltex yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh dengan kedua-dua stesen tersebut merupakan yang pertama di Malaysia menerima pensijilan Platinum di bawah kategori Bangunan Bukan Kediaman Sedia Ada.

 

Chevron dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua stesen berkenaan diberikan pengiktirafan oleh GreenRE iaitu badan pensijilan hijau utama negara kerana menumpukan kepada kecekapan kos dan mengurangkan pelepasan karbon.

 

Menerusi sistem pemarkahan yang teliti, GreenRE menilai langkah-langkah yang diambil oleh sesebuah pembangunan, dengan markah keseluruhan 90 mata dan ke atas perlu dicatatkan untuk mendapatkan sijil Platinum GreenRE.

 

Kedua-dua stesen itu mendapat markah tinggi dalam enam kategori impak alam sekitar iaitu Kecekapan Tenaga, Kecekapan Air, Operasi dan Pengurusan Lestari, Kualiti Persekitaran Dalaman, Ciri-Ciri Hijau Lain dan Pelepasan Karbon Pembangunan.

 

Chevron telah menaik taraf dua stesen Caltex dengan ciri-ciri baharu untuk menambah baik kecekapan tenaga, mengurangkan penggunaan air dan meningkatkan keselesaan dan kualiti ruang.

 

Sebagai contoh, kanopi besar digunakan dengan memasang panel solar pada bumbung untuk menjana tenaga bagi kegunaan stesen. Pada 2021, kedua-dua stesen mencapai penjimatan tenaga lebih 50% menerusi reka bentuk cekap guna tenaga dan panel fotovoltan solar.

 

caltex

 

Air yang digunakan untuk operasi harian diuruskan secara lebih cekap dengan menyediakan alat penjimatan air untuk mengurangkan penggunaan air boleh diminum dan memasang tangki pengumpulan air hujan sebagai sumber air alternatif bagi mengairi kawasan berlandskap di stesen ini.

 

Ciri-ciri mesra alam lain yang diterapkan di stesen ini termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED) dan penyaman udara kecekapan tinggi, Sistem Ukuran Tenaga, cat sebatian organik tidak mudah meruap, keupayaan kawalan suhu, tong kitar semula dan pengurusan sisa, sistem meter air pintar, dan alat cekap guna air.

 

caltex

 

Menurut Pengerusi Negara Chevron Malaysia Limited, Jay Gomez berkata, pencapaian itu mencerminkan model masa depan bagi stesen servis yang boleh diperluaskan di seluruh rangkaian Caltex.

 

Pengerusi GreenRE, Datuk Seri FD Iskandar berkata pasukan dari Chevron berusaha bersungguh-sungguh memastikan markah yang tinggi dicapai dalam keenam-enam kategori impak alam sekitar.

 

 “Saya amat gembira dengan pencapaian kedua-dua stesen dan kejayaan sebagai dua stesen servis pertama di Malaysia untuk menerima pensijilan Platinum," katanya. - DagangNews.com