Takaful Malaysia hanya dilihat kembali pulih pada Q4 | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia hanya dilihat kembali pulih pada Q4

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) hanya dilihat kembali mencatat pemulihan pada suku keempat 2021.

 

Penganalisis Kenanga Research, Adrian Kok berkata, pada suku ketiga ini, premium kumpulan masih terkesan dengan sekatan pergerakan di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

"Bagaimanapun, kami melihat, ia boleh diimbangi dengan nisbah tuntutan yang rendah dan pendigitalan.

 

"Malah, dengan mengambil inisiatif pendigitalan itu juga, cabaran yang dihadapi operasi kumpulan ketika berdepan tempoh sekatan ini adalah minimum," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' bagi saham Takaful Malaysia dengan harga sasaran pada RM5.85. 

 

Takaful Malaysia merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM81.54 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM75.09 juta bagi suku yang sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, untung bersih itu menyusut 19.4% daripada RM101.14 juta pada suku sebelumnya, dengan sebahagian besar disebabkan pendapatan bersih wakalah yang rendah.

 

Pendapatan sesaham (EPS) juga susut kepada 9.76 sen berbanding 12.18 sen pada suku pertama 2021.

 

Dalam pada itu, pendapatan suku tahunan juga susut 23.4% kepada RM701.21 juta daripada RM915.49 juta disebabkan jualan rendah menerusi perniagaan takaful am dan keluarga. 

 

Sementara itu, Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chan Jit Hoon berkata, untung bersih yang direkodkan Takaful Malaysia adalah memenuhi jangkaannya, membentuk 48 hingga 50% bagi kedua-dua unjuran firma dan konsensus bagi sepanjang tahun. 

 

Katanya, dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat di bawah PPN, kecenderungan membuat pinjaman dijangka kembali semula sekali gus memacu jualan bagi produk berkaitan kredit dan meningkatkan segmen faedah pekerja. 

 

"Bagi sebarang keluk hasil yang merugikan, kami berpendapat ia tidak menjejaskan pendapatan berkaitan pelaburan Takaful malaysia secara material.

 

"Kami perhatikan pada tahun kewangan 2020, sebanyak 88% adalah keuntungan berulang yang diperoleh menerusi sekuriti hutang Islamik, deposit dan dividen manakala baki 12% daripada keuntungan yang direalisasikan dan tidak direalisasikan," jelasnya.

 

Dengan melihat prospek pertumbuhan jangka panjang Takaful Malaysia yang cerah, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM5.35. 

 

Setakat 11.22 pagi ini, harga sahamnya susut 7 sen kepada RM4.45 dengan 117,700 saham diniagakan. - DagangNews.com