Aircraft Propeller Service melabur dalam modal insan, hantar kakitangan sertai kursus di AS dan Brazil | DagangNews Skip to main content

Aircraft Propeller Service melabur dalam modal insan, hantar kakitangan sertai kursus di AS dan Brazil

Sebahagian peserta yang mengikuti kursus di pejabat APS di Lake Zurich, Illinois.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Nov - Pemimpin global dalam penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian kipas (MRO), Aircraft Propeller Service (APS), menghantar 20 daripada 30 orang kakitangannya ke Amerika Syarikat (AS) dan Brazil untuk latihan kemahiran yang komprehensif, dalam satu pelaburan strategik untuk tenaga kerja Malaysia.

 

Kakitangan terlibat bakal menyokong operasi di fasiliti MRO APS di Kuala Lumpur, yang dijadualkan dibuka pada awal 2025.

 

Separuh daripada kakitangan tersebut sedang menjalani latihan di ibu pejabat APS di Lake Zurich, Illinois, manakala yang lain mengikuti pembelajaran praktikal di fasiliti APS di Sao Paulo, Brazil. 

 

Latihan di dua lokasi itu memberikan peserta pendedahan mendalam kepada piawaian kualiti ketat dan kepakaran teknikal APS. 

 

Setelah menyelesaikan kursus berkenaan, peserta akan meneruskan latihan tambahan di Kuala Lumpur.

 

APS memegang satu-satunya perjanjian lesen dengan Collins Aerospace untuk melaksanakan pembaikan kipas pesawat 568F di Asia dan Amerika.

 

Ketua Pegawai Eksekutif APS, Daniel Colbert berkata, kakitangannya adalah aset paling penting, dan dengan melabur dalam pembangunan modal insan, syarikat dapat memastikan mereka berkembang bersama, sekali gus membantu mengekalkan piawaian kecemerlangan yang tinggi yang diharapkan oleh pelanggan.

 

Program latihan itu merangkumi 31 kursus dalam talian mandatori, yang berlangsung antara tiga hingga lapan jam setiap satu, untuk memastikan kakitangan bersedia sepenuhnya untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang. 

 

Latihan menyeluruh yang diterima oleh peserta di luar negara termasuk latihan vokasional dalam suasana bilik darjah dan latihan kemahiran praktikal di bengkel. 

 

Sehingga kini, APS telah mencapai kadar kejayaan 100% dalam program terbabit, mencerminkan dedikasi dan bakat tenaga kerja mereka.

 

Latihan intensif tersebut akan mengesahkan juruteknik APS dalam pelbagai proses khusus, memastikan mereka memiliki kemahiran teknikal yang diperlukan untuk mengekalkan reputasi APS untuk kecemerlangan.

 

Kemudahan baharu di Kuala Lumpur yang akan datang, bakal memberi tumpuan kepada perkhidmatan MRO untuk propeller ATR 72 dan Airbus C295 sebagai keupayaan utama, dengan rancangan untuk memperluas keupayaannya dari semasa ke semasa. 

 

ATR 72 digunakan secara meluas oleh syarikat penerbangan serantau, manakala C295 memenuhi keperluan pengangkutan tentera.

 

"Kami memilih Kuala Lumpur bukan sahaja kerana lokasi strategiknya dan infrastruktur yang mantap, tetapi juga kerana akses kepada tenaga kerja yang termotivasi dan terpelajar," kata Colbert. 

 

Tambah beliau, keputusan untuk melatih kakitangan Malaysia di AS dan Brazil menekankan komitmen syarikat untuk memastikan fasiliti baharu tersebut beroperasi pada tahap cemerlang, pada masa sama menjadikan APS nama yang dipercayai dalam industri MRO selama beberapa dekad.

 

Asia Pasifik adalah pasaran terbesar di dunia untuk pesawat ATR, dengan 37% daripada jumlah armada ATR dan pakar meramalkan, rantau berkenaan tidak termasuk China, akan memerlukan hampir 1,000 pesawat turboprop tambahan dalam 20 tahun akan datang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kesalinghubungan serantau.

 

"Asia Pasifik sedang mengalami pertumbuhan yang kukuh dalam pasaran turboprop. Kemudahan kami di Kuala Lumpur meletakkan kami di tengah-tengah pertumbuhan ini, membolehkan kami memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih efisien dan efektif. 

 

"Ini adalah peluang besar bagi kami untuk mengukuhkan kehadiran di kawasan ini dan menyokong pelanggan kami ketika mereka memperluas armada mereka," ujar beliau. - DagangNews.com