KUALA LUMPUR 5 Nov - AmInvestment Bank Research menaik taraf saranan sektor perladangan daripada 'neutral' kepada 'overweight' dan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM4,250 bagi satu tan menjelang 2025 didorong kekurangan bekalan minyak sawit, minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari.
Firma penyelidikan itu berkata, eksport MSM dijangka terjejas akibat penggunaan Indonesia yang semakin meningkat disebabkan biodiesel dan sekatan ke atas penghantaran ke luar negara.
"Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kami tidak menjangkakan harga MSM akan jatuh mendadak dalam separuh kedua (2H), ini kerana Kesatuan (EU) dijangka meningkatkan pembelian MSM sebelum EUDR (Peraturan Penebangan Hutan EU) dilaksanakan pada akhir FY25.
"Pilihan utama kami ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd dengan harga sasaran (TP) RM26.55 sesaham kerana pokok kelapa sawitnya yang muda dan pemulihan kukuh dalam pendapatan hiliran.
"Selain itu, kami juga memulakan liputan terhadap Johor Plantations Group Bhd dengan saranan 'beli' pada TP RM1.74 sesaham, kami menyukai pendedahan tulennya kepada harga MSM, harga jualan premium dan lokasi strategik ladang kelapa sawit," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan, pengeluaran minyak sawit Malaysia akan berkurangan selepas musim penuaian pada 2024 dan tidak akan mengambil pekerja asing dalam tempoh itu.
Pada masa sama, AmInvestment meramalkan esksport minyak sawit Indonesia akan terus jatuh kerana negara itu mengutamakan pasaran tempatannya, yang telah berkembang di belakang dasar pengadunan biodiesel dan obligasi pasaran domestik.
“Import sawit China menyaksikan kemerosotan akibat penggunaan domestik terjejas oleh aktiviti ekonomi yang lemah.
"Disokong oleh langkah rangsangan kerajaan, kami percaya permintaan China terhadap kacang soya dan produk sawit akan bertambah baik pada 2025," katanya.- DagangNews.com