PublicInvest kekal saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan, ramal minyak sawit mentah cecah paras RM3,800 setiap tan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan, ramal minyak sawit mentah cecah paras RM3,800 setiap tan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor sektor perladangan dengan ramalan minyak sawit mentah (MSM) tahun ini berada pada paras RM3,800 bagi setiap tan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun levi baharu Indonesia dan kenaikan cukai import India ke atas minyak makan mungkin memberi kesan kepada eksport minyak sawit Malaysia dalam beberapa bulan akan datang, sesetengah penanam Malaysia mungkin melihat peningkatan harga MSM daripada perniagaan huluan Indonesia mereka.

 

IOI Corporation Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan SD Guthrie Bhd adalah pemain industry terkenal Malaysia yang mempunyai pendedahan kepada perniagaan hiliran.

 

"Kementerian Kewangan Indonesia mengumumkan bahawa negara itu memotong levi eksport minyak sawitnya sebagai usaha meningkatkan penghantaran tempatan menjelang musim pengeluaran puncak.

 

"Pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu menetapkan levi MSM pada 7.5% daripada harga rujukan, yang akan menyaksikan pemotongan duti daripada AS$90 kepada AS$63 untuk September 2024.

 

"Sementara itu, levi bagi produk sawit yang diproses adalah antara 3% dan 6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

PublicInvest berkata, India sebaliknya, mengenakan 20% duti kastam asas ke atas MSM, minyak soya mentah dan minyak bunga matahari mentah mulai 14 September 2024 sebagai langkah untuk menyokong "harga imbuhan" untuk petani minyak bijian tempatan menjelang pilihan raya serantau yang dijadualkan di Maharashtra lewat tahun ini.

 

India akan meningkatkan jumlah duti import ke atas tiga minyak utama kepada 27.5% daripada 5.5% kerana ia juga tertakluk kepada Ses Pembangunan dan Infrastruktur Pertanian negara serta Surcaj Kebajikan Masyarakat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia berpotensi kehilangan sedikit bahagian pasaran kepada rakan setaranya di Indonesia, manakala permintaan untuk produk minyak sawit dari India mungkin lebih lemah, kerana dipercayai mereka mempunyai stok sebelum pengumuman itu.

 

"Keadaan menjadi lebih mencabar bagi penapis tempatan, yang telah bergelut sebelum ini. India adalah pengimport minyak sawit kedua terbesar Malaysia, menyumbang 22% daripada jumlah import tahun ini," katanya.- DagangNews.com