Sarawak tandatangani MoU dengan MEASAT dalam usaha sokong pembangunan industri angkasa negeri | DagangNews Skip to main content

Sarawak tandatangani MoU dengan MEASAT dalam usaha sokong pembangunan industri angkasa negeri

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUCHING 16 Okt - Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan penyedia penyelesaian satelit terkemuka di Malaysia, MEASAT Global Berhad (MEASAT), untuk meningkatkan pembangunan industri angkasa Sarawak. 

 

Majlis disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 pada 16 Oktober 2024, yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

 

Di bawah MoU itu, MEASAT akan berperanan sebagai perunding kepada Jawatankuasa Industri Angkasa dan Satelit Sarawak (SISCOM), menawarkan kepakaran industri untuk membentuk dasar, garis panduan dan masa depan industri angkasa serta satelit di Sarawak. 

 

Ia turut merangkumi latihan dan pembangunan bakat, memanfaatkan lebih 30 tahun pengalaman MEASAT dalam pengurusan satelit dan komersialisasi perkhidmatan.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, SMA dan MEASAT akan meneroka projek bersama, termasuk operasi dan pengurusan satelit, pembangunan polisi, garis panduan, latihan dan pembangunan industri angkasa dan satelit. 

 

Kerjasama awam-swasta tersebut akan memberikan manfaat ekonomi kepada negeri sambil meningkatkan keupayaan satelit Sarawak.

 

Julaihi berkata, kerjasama antara SMA dan MEASAT menandakan detik penting bagi cita-cita Sarawak dalam industri angkasa. 

 

"Dengan memanfaatkan kepakaran satelit MEASAT, kita membuka jalan ke arah hubungan yang lebih baik terutamanya di kawasan luar bandar, sambil meletakkan asas bagi Sarawak untuk mengurus sistem satelitnya sendiri.

 

"Kerjasama ini adalah kunci untuk mencapai matlamat kemandirian satelit 2030 kita, yang juga akan menyumbang kepada peningkatan kemampuan penggubalan dasar dengan pengumpulan dan analisis data yang canggih," kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng menyatakan komitmennya untuk mendorong kerjasama terbuka bagi meneroka strategi inovatif bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sarawak dan mengukuhkan infrastruktur digital. 

 

"Perkongsian ini adalah langkah penting ke arah membina industri angkasa yang kukuh di Sarawak dan meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam teknologi satelit, di samping memacu pertumbuhan ekonomi keseluruhan," katanya.

 

Ketua Pegawai Operasi (CEO) MEASAT, Yau Chyong Lim pula berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif bersama SMA untuk memajukan cita-cita angkasa Sarawak dalam menyumbang kepada pembangunan teknologi satelit yang memberi manfaat kepada masyarakat dan operasi kerajaan negeri. - DagangNews.com