SFZ Forest City tawarkan pakej galakan besar, beri kesan limpahan kepada Iskandar Malaysia - RHB IB | DagangNews Skip to main content

SFZ Forest City tawarkan pakej galakan besar, beri kesan limpahan kepada Iskandar Malaysia - RHB IB

Gambar media sosial Forest City
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Sept - Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City menawarkan pakej galakan yang besar dan patut memberikan kesan limpahan positif terhadap Iskandar Malaysia pada jangka lebih panjang, iaitu dari segi permintaan untuk hartanah, kegiatan komersial dan runcit.

 

RHB Investment Bank berkata, jika ekosistem zon ini iaitu peraturan dan prasarana dirangka serta ditubuhkan dengan baik, gerakan untuk menubuhkan syarikat-syarikat pengurusan kekayaan anggota keluarga (family office) merupakan langkah yang munasabah.

 

Kata firma penyelidikan tersebut, ini memandangkan Forest City terletak bersebelahan Singapura, yang selama ini menjadi pusat untuk syarikat pengurusan kekayaan anggota keluarga di rantau ini. 

 

"Selain itu, galakan untuk penubuhan institusi-institusi kewangan dan sektor-sektor logistik juga dilihat dapat menarik pelaburan masuk ke Forest City, lalu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada 20 September lalu, Kerajaan mengumumkan pakej insentif untuk menarik modal antarabangsa ke SFZ Forest City, termasuk cukai sifar ke atas pejabat kekayaan keluarga (Family Wealth Office) atau firma pengurusan individu kaya, lokasi pertama seumpama itu di Malaysia.

 

Skim Pejabat Keluarga Tunggal, yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), bertujuan menarik keluarga kaya di rantau ini dan Malaysia bagi menguruskan kekayaan keluarga mereka dari Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Forest City SFZ dilancarkan dengan cukai sifar ke atas firma pengurusan individu kaya

 

Antara insentif lain termasuk kadar cukai korporat konsesi antara sifar dan 5%, dan kadar cukai pendapatan individu khas sebanyak 15% untuk pekerja berpengetahuan, dan rakyat Malaysia, yang memilih untuk bekerja di sana.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, dengan adanya tawaran pakej-pakej galakan, Zon Kewangan Khas bukan hanya akan menarik minat syarikat-syarikat pengurusan asset tempatan, institusi-institusi kewangan dan individu dengan aset bernilai tinggi, malah ia juga patut memikat sumber dana antarabangsa untuk dilaburkan dalam Forest City.

 

"Ini khususnya oleh individu-individu dengan aset bernilai tinggi (walaupun mungkin bukan mereka yang tergolong dalam segmen sangat kaya) di rantau ini. 

 

"Mengikut fahaman kami, sudah ada beberapa institusi kewangan dari Singapura yang menyatakan minat mereka dalam SFZ, sementara menunggu garis panduan rasmi diterbitkan oleh SC dalam jangka terdekat," jelasnya.

 

RHB Investment dalam pada itu berpendapat yang lama kelamaan akan ada pertambahan keperluan untuk lebih banyak ruang pejabat dalam Forest City dengan yang lebih penting lagi, hartanah-hartanah kediaman sedia ada di sana akan dihuni secara beransur-ansur. 

 

sfz
Gambar Forest City

 

Katanya, cukai keuntungan hartanah sebenar yang dikenakan pada warga asing juga telah diselaraskan pada paras 0% selepas lima tahun iaitu sama seperti kelebihan cukai untuk warga Malaysia yang membeli hartanah di sana dan para pembeli hartanah di Forest City juga akan menikmati pengecualian duti setem 50% terhadap pemindahan hartanah dan pembiayaan gadai janji. 

 

"Meskipun galakan-galakan yang diberi ini menumpu pada Forest City, kerana lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, kegiatan perniagaan yang lebih rancak di kawasan sekitarnya seperti di Nusajaya dan Medini dijangka memberi manfaat kepada sektorsektor jualan runcit, hiburan dan makanan & minuman (F&B). 

 

"Tambahan itu, UEM Sunrise, Sunway dan Eco World Development juga mungkin mengalami kesan limpahan setakat tahap tertentu pada masa hadapan," ujarnya.

 

Dalam pada itu, kata RHB IB, pelaksanaan semula projek Kereta Api Laju (HSR) Johor Bahru-Singapura dapat menjadi faktor pemangkin besar untuk kenaikan penilaian sektor hartanah secara keseluruhan.

 

Kata firma penyelidikan tersebut, ini bukan hanya para pemaju di Iskandar Malaysia akan mendapat kelebihan, tetapi menuju ke hadapan, prospek lebih baik juga dijangkakan untuk syarikat-syarikat pemaju yang memiliki bank tanah di sepanjang kawasan jajaran dari Singapura ke Kuala Lumpur.

 

Keseluruhannya, RHB Investment mengekalkan saranan 'Overweight' bagi sektor hartanah. 

 

"Pandangan positif kami dikekalkan. Selain keadaan makroekonomi yang baik (kadar faedah stabil, pertumbuhan ekonomi lebih baik, nilai mata wang ringgit lebih kukuh), galakan ekonomi kerajaan untuk zon-zon khas dan kemasukan pelaburan patut terus mendorong sentimen pasaran terhadap saham-saham hartanah," jelasnya. - DagangNews.com