Untung bersih teras Karex diramal melonjak 32.4% kepada RM39.9 juta pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras Karex diramal melonjak 32.4% kepada RM39.9 juta pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Apex Securities meramalkan untung bersih teras Karex Bhd pada FY25 melonjak 32.4% kepada RM39.9 juta dipacu penerokaan pasaran kondom sintetik baharu yang dijangka menyumbang sehingga 1.2% kepada jumlah hasil kumpulan.

 

Katanya, kumpulan itu menunjukkan pertumbuhan hasil lebih baik selepas pasaran kondom sintetik mengukuhkan kedudukan di pasaran dan margin kasar yang lebih baik dalam pelincir peribadi.

 

Oleh itu, pihaknya menjangkakan sumbangan yang lebih kukuh dari FY25 dan seterusnya.

 

"Kami optimis terhadap prospek pertumbuhan pendapatan Karex, memandangkan amalan pengurusan berhemat yang terbukti dalam prestasi kewangannya yang mampu mendepani pelbagai cabaran dan turun naik pasaran.

 

"Karex berjaya memberikan hasil dengan asas yang kukuh serta strategi pengurusan yang berkesan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu giat meneroka teknologi baharu dan menginovasi inisiatif kondom jenamanya sendiri, yang seterusnya meningkatkan keyakinan terhadap potensi pertumbuhannya

 

Katanya, segmen komersial untuk kondom dan pelincir kekal sebagai saluran jualan utama, dengan kumpulan diiktiraf di peringkat global untuk kualiti yang kompetitif, kos, ciri dan reka bentuk.

 

"Karex mempunyai rekod prestasi pembuatan yang baik dan terbukti yang meningkatkan daya tarikannya kepada jenama kesihatan.

 

"Segmen ini diunjurkan terus berkembang apabila projek penyelidikan dan pembangunan yang berterusan membawa kepada lebih banyak keperbagaian produk," katanya.

 

Apex Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham. - DagangNews.com