JAMINAN MASA DEPAN PASARAN SUMBER MANUSIA INDUSTRI KREATIF
SABAN tahun kita dapat melihat semakin banyak institut pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian dalam bidang industri kreatif. Ini termasuklah institusi pengajian sedia ada, serta juga pusat pengajian baharu yang menawarkan pengajian pelbagai peringkat; dalam jalur pengajian akademik serta pendidikan kemahiran.
Ia pastinya satu perkembangan yang baik. Ia memperlihatkan keyakinan bukan sahaja pusat pengajian tinggi, tetapi juga masyarakat umum termasuk ibu bapa dan juga pelajar tentang potensi besar dalam industri ini.
Ini juga selari dengan keyakinan global tentang potensi industri ini untuk menjadi pemain dan penyumbang ekonomi yang penting bukan sahaja dalam konteks negara maju, tetapi juga di negara membangun seperti Malaysia.
Namun begitu, saya melihat optimisme itu harus juga disambut secara praktikal dan realistik tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam menghadapi perkembangan ini, khususnya dalam menangani beberapa isu dan persoalan berkaitan masa depan sumber manusia dan modal insan dalam industri ini.
Ini termasuklah dari segi saiz pasaran pekerjaan yang ada, kebolehpasaran graduan, unjuran sektor pekerjaan yang berkembang dan menguncup (malah mungkin pupus), dan beberapa aspek lain yang boleh menjamin guna daya optimum kepada bakal-bakal graduan yang bakal dilahirkan – setidaknya dalam tempoh 10 tahun mendatang.
Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil dalam melihat dan menangani isu-isu ini, namun antara langkah yang saya lihat boleh diambil dalam memantau hal ini adalah dengan mewujudkan sebuah Majlis Dekan bagi fakulti-fakulti yang menawarkan pengajian dalam industri kreatif ini – yang menggabungkan kesemua universiti awam dan pusat pengajian swasta yang terpilih.
Sepertimana yang ramai tahu, penubuhan majlis seperti ini sememangnya menjadi kelaziman dalam beberapa bidang lain di universiti awam – contohnya seperti Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam Malaysia, Majlis Dekan Alam Bina Universiti Awam (MDAB), Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Awam Malaysia, Majlis Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Awam, Majlis Dekan Pengajian Siswazah Universiti Awam dan juga Majlis Dekan ICT (MaDICT).
Jika tidak diusahakan sebagai majlis dekan sekalipun, ia mungkin masih boleh digerakkan dalam apa sahaja bentuk atau panggilan – dengan menggunakan punca kuasa mahupun bidang kuasa yang dibolehkan – bagi menjadi medan bagi institusi-institusi pengajian industri kreatif ini untuk berjumpa dan berkumpul – mungkin dalam kekerapan yang dilihat wajar dalam tempoh setahun.
Cadangan ini bukanlah bertujuan untuk menambah birokrasi, atau untuk mengganggu privasi dan kerahsiaan – menghapuskan persaingan sihat antara institusi - mahupun campur tangan dalam penentuan perancangan setiap fakulti ini, yang pastinya mempunyai autonomi tersendiri – termasuklah universiti awam sendiri.
Namun, saya melihat perlunya ada sebuah platform yang mana setiap institusi ini saling berkongsi dan bertukar pelbagai perkara - untuk mendapatkan gambaran dan mengintegrasi perancangan sesama mereka secara umum.
Tidak kira ia diselia oleh organisasi induk seperti Kementerian Pengajian Tinggi, atau diurus secara bersama mahupun secara bergilir oleh institusi terbabit – platform ini dilihat mampu memainkan peranan penting dalam menjamin masa depan para mahasiswa serta bakal mahasiswa akan datang termasuk tentang kesediaan saiz pasaran dan industri untuk menerima tenaga kerja dengan jumlah yang besar ini.
Pertamanya, kumpulan pakar ini boleh bertindak sebagai pasukan pemikir dalam melihat trend pekerjaan dalam industri ini.
Sebagai industri yang berkait rapat dengan teknologi, serta perubahan sistem dan amalan dalam industri yang berubah dengan pantas, kumpulan pakar ini boleh membuat unjuran secara umum tentang skop pekerjaan yang mungkin akan berkembang dan skop pekerjaan yang mungkin akan pupus dalam tempoh lima ke sepuluh tahun mendatang.
Selain itu, skop pekerjaan masa depan dalam industri kreatif – iaitu bidang pekerjaan yang masih tidak wujud kini, tetapi dijangka akan muncul dalam masa beberapa tahun ke depan sudah boleh diramal dan diunjurkan berdasarkan trend semasa.
Ini semua bagi membantu pihak institusi dalam membuat perancangan pengambilan mahasiswa termasuklah dari mengenalpasti skop pekerjaan yang kekurangan tenaga mahir dan perlu diperbanyakkan – serta skop pekerjaan yang sudah berada pada paras lambakan tenaga kerja – serta skop pekerjaan baharu yang perlu dibangunkan.
Ini adalah asas yang memberikan impak besar dan merupakan pembolehubah yang signifikan kepada kebolehpasaran graduan – selain kualiti graduan itu sendiri.
Keduanya, ia boleh menjadi platform yang mana setiap fakulti akan berkongsi senarai dan data kertas kerja akademik mahupun penyelidikan yang dijalankan oleh setiap fakulti, yang mana jika digabungkan boleh menjadi sebuah database yang jika tidak lengkap sekalipun, tetapi cukup holistik untuk kita mengetahui landskap dunia penyelidikan berkenaan industri kreatif di peringkat nasional;- seperti jumlah penyelidikan yang dijalankan, pertumbuhan jumah kajian, serta cakupan bidang yang disentuh.
Dari itu kita dapat melihat aspek dan skop bidang yang mungkin tercicir dan boleh diberikan perhatian dalam perancangan penyelidikan mahasiswa atau tenaga akademik yang akan datang.
Ketiganya, kumpulan ini boleh menjadi platform untuk mengumpul data dan statistik mahasiswa semasa dan mendatang, bagi membolehkan pelan pengambilan (enrollment) disesuaikan dengan saiz pasaran semasa – serta pertumbuhan pasaran sumber manusia yang diunjurkan dalam industri ini.
Perkongsian pandangan dan maklumat sesama institusi pengajian ini juga membolehkan para institusi pengajian mendapat gambaran lebih holistik dan tepat tentang industri yang sedang mereka hadapi dan persiapkan.
Saya melihat selain usaha mempersiapkan mahasiswa mengikut spesifikasi dan keperluan industri – perlu juga untuk dunia akademik dan intelektual untuk sama memberikan input tentang bagaimana industri ini harus ditadbirselia dan dipandu. Ia adalah hubungan dua hala yang saling memerlukan toleransi tanpa memihak secara total kepada mana-mana pihak.
Pasukan pakar dan pemikir ini juga mampu menjadi penghubung antara dunia akademik dan pengajian dengan dunia industri – yang memastikan jalur laluan atau pathway antara dunia mahasiswa ke dunia pekerjaan dapat diatur dengan sempurna dan praktikal.
Mungkin banyak lagi peranan yang boleh dimainkan dengan kewujudan platform perkongsian yang dicadangkan ini. Dalam dunia big data kini, membangunkan data yang terkumpul dan holistik hasil gabungan semua institusi pengajian terbabit amat penting dalam melihat landskap industri secara lebih jelas – berbanding jika setiap institusi hanya bergerak secara sendiri - tanpa integrasi, pemetaan atau penyesuaian untuk saling mendukung dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
BACA ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA :
- PENGGAMBARAN LUAR STUDIO WAJAR DIBENARKAN SEMULA SELEWATNYA FASA 3 LOCKDOWN
- STRATEGI-STRATEGI ASTRO MENGHADAPI DIGITAL DISRUPTION
- Industri filem berdepan semakin banyak kepupusan pekerjaan
- MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN
- Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan
- Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19
Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)
- KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU
- Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
- POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
- COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek
- ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
- BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF