Guna kaedah ini untuk peniaga jadi pesaing unggul | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Jiwo Niago - 6 October 2020

GUNA KAEDAH INI UNTUK PENIAGA JADI PESAING UNGGUL

 

SEBELUM INI, saya telah menerangkan bahawa dalam proses penyediaan pelan perniagaan yang lengkap anda perlu merangka pelan pemasaran bagi memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan berjaya memasuki pasaran dan sampai kepada pelanggan sasaran.  

Selepas pelan pemasaran, anda perlu menyediakan pelan operasi dan pentadbiran sebagai pelan tindakan bagi melaksana pengeluaran produk atau penawaran perkhidmatan tersebut. Aktiviti operasi dan pentadbiran perlu di rancangan dengan teliti bagi meningkatkan keunggulan bersaing, mengurangkan kos, dan memaksimumkan keuntungan perniagaan.

 

Pelan operasi
Bahagian pelan operasi dalam pelan perniagaan menerangkan perancangan mengenai keperluan fizikal operasi perniagaan anda, seperti proses dan kadar pengeluaran, keperluan bahan, keperluan tenaga kerja, keperluan mesin dan peralatan, susun atur ruang operasi, lokasi, premis, dan bajet operasi

 

aaa

 

Proses pengeluaran
Pelan operasi lazimnya bermula dengan penerangan mengenai proses pengeluaran produk atau perkhidmatan dengan menyenaraikan aktiviti yang perlu dilakukan mengikut urutan bermula dari perolehan bahan sehingga produk dihasilkan atau perkhidmatan dilaksanakan. Proses pengeluaran juga boleh dibentangkan dalam bentuk carta aliran proses. Carta aliran proses ialah rajah skematik yang menerangkan proses pengeluaran atau operasi dari mula hingga barangan atau perkhimatan dijual atau dihantar kepada pelanggan.

 

Kadar pengeluaran 
Kadar pengeluaran operasi dalam unit atau jam operasi perkhidmatan hendaklah dinyatakan mengikut kesesuaian projek. Anggaran kadar pengeluaran dibuat berdasarkan jumlah anggaran jualan dan ia tertakluk kepada tahap kapasiti pengeluaran perniagaan. Kapasiti pengeluaran merujuk kepada tahap pengeluaran maksimum pada sesuatu masa yang dikira berdasarkan kapasiti mesin atau bilangan dan kemampuan pekerja atau faktor-faktor pengeluaran yang lain.  Anda perlu mengetahui kapasiti atau kemampuan pengeluaran bagi mengelak pembaziran sumber di samping dapat merancang jumlah jualan yang bersesuaian dengan kemampuan pengeluaran.  

 

Keperluan bahan 
Bahan mentah atau stok barang yang digunakan perlu disenaraikan. Di samping itu, kuantiti yang diperlukan termasuk stok simpanan dan harga belian bahan hendaklah dinyatakan. Kenal pasti pembekal-pembekal utama bahan dan nyatakan sama ada pembelian bahan dibuat secara tunai atau kredit.

 

Keperluan tenaga kerja 
Keperluan pekerja operasi perlu disenaraikan dengan menyatakan status pekerja tersebut (tetap, sambilan atau kontrak) temasuk kadar gaji dan caruman bulanan, upah atau elaun yang dibayar.

 

Keperluan mesin dan peralatan 
Keperluan mesin dan peralatan serta harga belian hendaklah dinyatakan selaras dengan keperluan pengeluaran atau operasi perkhidmatan. Butiran lain yang perlu dinyatakan ialah jenis mesin dan peralatan, model, harga, kuantiti yang diperlukan, nama dan alamat pembekal, dan cara perolehan, sama ada dibeli secara tunai, melalui sewa beli, atau sewa pajak.

 

Susun atur ruang 
Susun atur ruang operasi merujuk kepada susunan kedudukan mesin, peralatan dan segala keperluan dalam ruang operasi. Anda perlu menyatakan faktor-faktor utama yang diambil kira dalam merancang susun atur operasi sesuai dengan keperluan operasi perniagaan dan sertakan juga pelan grafik susun atur tersebut.

 

Lokasi 
Memilih lokasi yang sesuai adalah penting kerana ia boleh meningkatkan jualan, mengurangkan kos, dan meningkatkan keuntungan perniagaan. Secara umum, pemilihan lokasi perniagaan bergantung kepada faktor-faktor berikut: berhampiran dengan pelanggan, berhampiran dengan bahan mentah, kewujudan prasarana dan kemudahan awam yang baik, kewujudan tenaga kerja, mudah dikunjungi, kawasan letak kereta yang selesa, dan sebagainya.

 

aaa

 

Premis operasi 
Nyatakan sama ada premis operasi dibina, dibeli, atau disewa serta harga pembinaan, belian atau sewaan. Nyatakan juga sama ada ubahsuai perlu dilakukan beserta dengan kos ubahsuai yang terlibat.

 

Bajet operasi 
Keperluan dan kos mesin, peralatan dan aset tetap lain hendaklah disenaraikan. Anggarkan juga belanja overhed bulanan dan perbelanjaan operasi lain yang terlibat seperti belanja belian bahan, gaji pekerja operasi, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), utiliti, penyelenggaran mesin dan peralatan, bayaran deposit, dan sebagainya.

 

Pelan Pentadbiran
Pelan pentadbiran atau pelan organisasi merangkumi aspek pengurusan dan pentadbiran perniagaan terutama yang membabitkan pengurusan pekerja dan yang berkaitan dengan aspek perundangan yang perlu dipatuhi bagi membolehkan perniagaan beroperasi secara sah.

 

aaa

 

Kakitangan pengurusan dan carta organisasi 
Nyatakan bilangan kakitangan pengurusan dan pekerja yang diperlukan. Adalah lebih baik jika senarai jawatan pengurusan serta tugas dan tanggungjawab mereka dihuraikan dalam bentuk jadual. Seterusnya, carta organisasi dibentuk untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang jawatan-jawatan yang wujud dalam struktur organisasi dan kedudukan pekerja dalam organisasi.

 

aaa

 

Gaji, Upah dan Caruman 
Pelan pentadbiran juga mengambil kira implikasi kos yang membabitkan gaji kakitangan pengurusan dan pekerja. Jadual gaji dan caruman majikan untuk pekerja merangkumi gaji bulanan, caruman bulanan majikan kepada KWSP dan PERKESO.

 

Keperluan Peralatan Pejabat 
Di samping gaji kakitangan, perbelanjaan membeli peralatan pejabat juga perlu dinyatakan.


Keperluan lesen dan permit 
Anda dihehendaki menyatakan pelbagai jenis lesen atau permit yang diperlukan oleh perniagaan dan nyatakan juga status permohonan lesen atau permit berkenaan.


Bajet pentadbiran 
Keperluan dan kos peralatan untuk bahagian pentadbiran hendaklah disenaraikan. Kenal pasti juga belanja overhed bulanan dan perbelanjaan pentadbiran lain yang terlibat
seperti bayaran gaji kakitangan pentadbiran, utiliti, penyelenggaran mesin dan peralatan, sewa pejabat, bayaran deposit, dan sebagainya.


Selepas merangka pelan operasi dan pentadbiran, langkah seterusnya dalam penyediaan pelan perniagaan ialah merangka pelan kewangan. Perancangan kewangan yang teliti dapat membantu anda mengenal pasti sama ada perniagaan yang bakal dilaksanakan berdaya maju dan mampu meraih keuntungan.

Pelan kewangan merupakan komponen utama dalam pelan perniagaan yang menentukan sama ada projek perniagaan yang dicadangkan mampu mendapat pembiayaan dari institusi kewangan atau menarik minat pelabur luar. Perkara ini akan dibicangkan dalam keluaran akan datang. - DagangNews.com

 

aaa
Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

KOLEKSI JIWO NIAGO

APA PENTING SANGAT PELAN PEMASARAN INI?

ANALISIS PASARAN PENTING DALAM PELAN PERNIAGAAN

Pelan perniagaan sebagai strategi pengembangan perniagaan

Pemikiran Kreatif dan Peranannya Dalam Perniagaan

Memilih idea, peluang niaga yang sesuai untuk anda

TIDAK SEMUA BISNES PERLU MODAL TINGGI

Model Perniagaan mesti ada nak kembangkan bisnes

Fahami tawaran nilai produk anda dari perspektif pelanggan

 

 

Portfolio Tags