Penganalisis semak semula unjuran KDNK 2022 hingga 6.6%, jangka OPR dinaikkan September ini | DagangNews Skip to main content

Penganalisis semak semula unjuran KDNK 2022 hingga 6.6%, jangka OPR dinaikkan September ini

Namun, penganalisis masih bimbang terhadap beberapa ketidaktentuan faktor luaran yang boleh menjejaskan pertumbuhan. - Gambar : Megat Irfan/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Firma-firma penyelidikan menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini lebih tinggi berdasarkan prestasi suku kedua yang berkembang 8.9% melebihi daripada jangkaan pasaran. 

 

Pertumbuhan pada suku berkenaan adalah lebih kukuh berbanding suku pertama yang berkembang 5% menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9%. 

 

Ini mendorong MIDF Research menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini kepada 6.6% daripada sebelum ini pada 6%.

 

Dengan merekodkan pertumbuhan kukuh pada suku kedua, firma itu berkata, ia melepasi jangkaannya dan juga pasaran dipacu terutamanya aktiviti ekonomi domestik dan pembukaan semula ekonomi.

 

Menurutnya, momentum pertumbuhan positif akan berterusan sehingga separuh kedua dengan perbelanjaan pengguna semakin meningkat, aktiviti perniagaan berkembang dan petumbuhan permintaan luar yang kukuh.

 

"Penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh dan prospek pekerjaan yang lebih baik akan membantu menyokong perbelanjaan penggunaan, walaupun pengguna lebih berhati-hati dalam rancangan kewangan dan perbelanjaan mereka sebagai tindak balas kepada kenaikan kos sara hidup.

 

"Tetapi, kami masih kekal bimbang mengenai kemungkinan risiko penurunan terutamanya daripada perkembangan luaran seperti ekonomi China yang lemah, risiko kemelesetan dan penurunan mendadak dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan global, ketidaktentuan konflik di Ukraine, ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi global ekoran kenaikan harga komoditi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 8.9% pada suku kedua 

 

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9% pada suku kedua dipacu permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pemulihan pasaran pekerjaan.

 

Walaupun KDNK meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh. 

 

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) masih kekal dengan unjuran ekonomi berkembang antara 5.3 hingga 6.3% tahun ini yang cenderung ke arah sasaran lebih tinggi.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, unjuran itu kekal meskipun permintaan luaran dijangka terkesan pertumbuhan perlahan ekonomi global.

 

Baca : BNM : Ekonomi negara dijangka terus berkembang di sebalik pertumbuhan global yang lemah 

 

Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research turut menaikkan unjuran KDNK tahun ini kepada 6.5% berbanding 5.5% sebelum ini. 

 

Firma itu kekal positif terhadap prospek ekonomi pada separuh kedua di sebalik beberapa ketidaktentuan luaran memandangkan kesan asas yang rendah dan peralihan negara kepada fasa endemik. 

 

"Namun begitu, kadar pertumbuhan dijangka perlahan apabila bantuan tunai sekali sahaja daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin berkurangan, kesan inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi, serta risiko luaran yang meningkat," katanya.

 

Menurutnya, BNM juga dijangka tidak akan mempercepatkan kuantum kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) seperti mengekalkan pada 25 mata asas (bps) atau menjalankan keputusan dasar monetari tidak berjadual.

 

Katanya, antara kemungkinan ialah meneruskan laluan kenaikan kadar semasa mesyuarat yang dijadualkan pada Disember dan mungkin Januari, dengan syarat keadaan pertumbuhan dan penampan pemacu yang menyokong.

 

"Dalam penyata dasar monetari yang lalu, BNM mengulangi laluan kenaikan kadar 'terukur dan beransur-ansur' pada masa hadapan dan ikrarnya untuk memastikan OPR kekal 'akomodatif dan menyokong pertumbuhan'.

 

"Ini dilihat sejajar dengan normalisasi dasar monetari secara berperingkat berikutan peningkatan aktiviti ekonomi. 

 

"Buat masa ini, unjuran OPR semasa kami mengambil kira kenaikan 25 bps lagi kepada 2.50% pada 8 September ini dan untuk OPR mencapai tahap terminal unjuran kami pada 3.00% menjelang separuh pertama 2023," jelasnya. - DagangNews.com