Keperitan Usahawan Seni Budaya Menghadapi Pandemik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 18 Jun 2021 08:05 AM

Keperitan Usahawan Seni Budaya Menghadapi Pandemik

 

 

BEBERAPA minggu terakhir ini, dalam menghadapi lockdown yang masih berjalan, saya berkesempatan untuk berkomunikasi  dan berhubung dengan rakan-rakan usahawan seni budaya secara maya dan dalam talian. Ada komunikasi yang sememangnya diatur dan ada yang secara kebetulan. Mereka terdiri daripada rakan-rakan baharu dan lama.

 

Usahawan seni budaya yang saya maksudkan ini merangkumi pelbagai disiplin seni – terutamanya yang berkaitan kraftangan, muzik tradisi, teater, persembahan pentas, dan perkhidmatan sokongan yang lain; termasuk rekaan kostum, peralatan sistem bunyi dan pencahayaan serta sebagainya.

 

Dalam kesibukan mengendalikan perniagaan menghadapi cabaran pandemik, saya banyak tertumpu kepada lingkungan kenalan dalam sektor kandungan kreatif dan perfileman dan jarang sekali saya berkesempatan untuk bersama usahawan seni budaya dari disiplin yang lain.

 

Oleh itu, masa bekerja dari rumah beberapa minggu kebelakangan ini memberikan sedikit ruang masa  untuk kami berkomunikasi dan bertukar kisah cabaran sektor masing-masing dalam situasi kini.

 

Input yang saya peroleh sepanjang beberapa minggu ini memberikan gambaran lebih jelas kepada saya tentang beberapa perkara – yang selama itu mungkin saya telah ketahui – tetapi tidak berkesempatan untuk memerhatikannya secara lebih terperinci.

 

Ia pastinya tentang kesinambungan hidup atau survival usahawan seni budaya – terutamanya yang terlibat dalam seni persembahan – yang mana sektor berkenaan boleh diletakkan sebagai salah satu sektor paling terjejas dalam industri kreatif.

 

Meskipun terdapat usahawan seni budaya yang sebelum ini telah berjaya membina reputasi dan perniagaan dalam sektor ini, namun boleh dikatakan kebanyakan usahawan seni budaya masih berada dalam skala perniagaan mikro.

 

Sememangnya usahawan mikro merupakan satu fasa yang cukup mencabar, malah boleh dianggap sebagai golongan rentan dalam konteks perniagaan. Kestabilan dan daya tahan merupakan antara isu terbesar golongan usahawan ini – yang sangat terdedah kepada apa sahaja perubahan dan ancaman situasi, apatah lagi dalam krisis sebesar ini.

 

Secara umumnya, hampir keseluruhan perniagaan terjejas. Apatah lagi semua ini berlaku di luar jangkaan dan di luar kebiasaan.

 

Namun, kedudukan usahawan mikro dalam kestabilan, termasuklah keupayaan simpanan tunai dalam menghadapi fasa ini merupakan tanda soal yang sukar dijawab.

 

Para usahawan seni budaya kini berada di persimpangan besar dalam membuat keputusan – tentang keperluan mempertahankan perniagaan mereka dengan langkah yang perlu diambil – termasuk berkira-kira mengenai `exit plan` yang wajar.

 

 

kreatif
SEMUA bentuk persembahan kebudayaan atau teater tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP pandemik COVID-19 ini.

 

 

Namun, saya juga percaya kebanyakan para usahawan seni budaya bukan sekadar mencongak berasaskan angka ringgit dan sen semata-mata, tetapi semangat dan prinsip yang menjadi pegangan – dan itu semua akan mampu membawa mereka keluar dari kemelut ini pada suatu ketika yang kita yakin akan tiba tidak lama lagi.

 

Saya melihat fasa pandemik ini wajar untuk dilihat sebagai satu fasa reset kepada para usahawan seni budaya ini, dalam memikirkan tentang bukan sahaja kelangsungan tetapi daya tahan dalam perniagaan mereka di masa mendatang.

 

Ini juga fasa reflektif untuk kembali mencermin perjalanan perniagaan masing-masing selama ini; mengenal pasti kelemahan, membuat pelaburan kepada ilmu dan kemahiran, sekaligus menjalankan penambahbaikan yang wajar dan diperlukan.

 

Beberapa pendekatan yang konstruktif harus mula difikirkan.

 

Saya percaya bahawa bakat dan kemahiran seni budaya yang dimiliki oleh para usahawan seni ini mempunyai nilai yang sangat besar, bukan sekadar dalam konteks sosial tetapi juga ekonomi.

 

Dengan keperluan fitrah manusia terhadap seni budaya memperlihatkan bahawa permintaan serta nilai ekonomi yang dibawa oleh seni budaya dengan pendekatan yang sewajarnya, mampu dan mempunyai kemampuan untuk menempuh segala cabaran ini.

 

Malah ada sesetengah disiplin seni yang boleh beradaptasi dalam konteks platform dan penyampaian melalui teknologi digital hari ini.

 

Gabungan semangat, bakat, kemahiran serta perancangan konstruktif bukan sahaja mampu membawa usahawan seni budaya ini keluar dari kemelut tetapi mungkin mampu membawa ia ke tahap yang lebih baik.

 

Kadangkala, apabila terlalu fokus kepada menyelesaikan masalah, kita mungkin terlepas pandang bahawa ada sisi masalah itu sebenarnya peluang untuk diambil dan dimanfaatkan.

 

Dalam dunia keusahawanan, ia bukan sekadar soal percaturan atas kertas. Namun kekuatan motivasi dalam diri usahawan ini adalah elemen penting akan membuatkan mereka terus berdaya tahan dan berkembang.

 

Inilah yang diingatkan oleh sebaris peribahasa Jepun yang saya minati “kemenangan adalah milik mereka yang menunggu setengah jam lebih lama daripada lawan mereka”. Dalam konteks ini, pandemik itulah lawan kita!

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 
 

  1. JAMINAN MASA DEPAN PASARAN SUMBER MANUSIA INDUSTRI KREATIF
     
  2. PENGGAMBARAN LUAR STUDIO WAJAR DIBENARKAN SEMULA SELEWATNYA FASA 3 LOCKDOWN 
     
  3. STRATEGI-STRATEGI ASTRO MENGHADAPI DIGITAL DISRUPTION
     
  4. Industri filem berdepan semakin banyak kepupusan pekerjaan
     
  5. MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN
     
  6. Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan
     
  7. Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19
  8. Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

  9. KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU
     
  10. Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
     
  11. POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
     
  12. COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
  13. Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

  14. ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
     
  15. BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF