Kenapa orang Islam sendiri tidak yakin dengan undang-undang syariah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 01 Feb 2021 06:45 AM
wasiyyahshoppe


KENAPA ORANG ISLAM SENDIRI TIDAK YAKIN DENGAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?

 

 

SEBENARNYA saya bercadang ingin meneruskan penulisan saya tentang hibah takaful pada siri kali ini. Ada banyak lagi manfaat yang boleh dieksploit dari manfaat takaful anda selain dari hibah takaful.

 

Namun demikian, saya beralih topik dalam penulisan ini kerana timbul isu terbaru di dalam industri perancangan harta yang saya rasa lebih kritikal untuk saya ketengahkan. Isu hibah takaful kita sambung lagi dalam penulisan seterusnya.

 

Apakah isu kritikal yang mahu kita bincangkan kali ini? Saya berjumpa dengan seorang hamba Allah yang menegaskan pandangannya. Dia berkata, “Apa kita peduli sangat sama ada perancangan harta yang kita buat itu patuh syariah atau tidak. Yang penting ialah hasrat kita nak membahagikan harta itu tercapai walaupun tak ikut kaedah syariah!” Saya mengurut dada sambil beristighfar mendengar pandangan itu.

 

Ya, Malaysia negara bebas dan kita semua berhak ke atas pandangan masing-masing. Namun pandangan hamba Allah ini pada saya agak ‘terkebelakang’. Ini kerana di dalam keadaan umat Islam di Malaysia hari ini bersungguh-sungguh mencari  kaedah syariah dalam semua urusan muammalat seperti perbankan, takaful dan perancangan harta, boleh pulak dia kata tak syariah pun tak apa janji hasrat tercapai.

 

Pandangan ini hampir menyamai pandangan “perbankan Islam dan perbankan konvensional sama saja. Kedua-duanya pun bank!” Bukankah mencari yang halal itu hukumnya fardhu kepada orang Islam?

 

Sejak Wasiyyah Shoppe Berhad ditubuhkan pada 2004, saya telah secara istiqomah berkongsi dengan rakyat Malaysia kenapa bila kita nak merancang harta maka kaedah syariahlah yang mesti kita guna.

 

Sebenarnya memang ada sahaja kaedah sivil yang kita boleh guna untuk merancang harta kita seperti kaedah Wasiat, Surat Kuasa Wakil dan Surat Ikatan Amanah. Instrumen-instrumen inilah paling banyak digunakan oleh kebanyakan orang awam dan paling banyak digunapakai oleh pemain industri perancangan harta.

 

Kaedah sivil ini sudah wujud lama di Malaysia dan kerana undang-undang yang mengikatnya ialah undang-undang Sivil iaitu melalui Akta Wasiat (1959), Akta Surat Kuasa Wakil (1949), dan Akta Pemegang Amanah (1949),  ada banyak kes ‘precedent’ telah diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Jadi kita boleh katakan bahawa kaedah ini lebih terjamin keberkesanannya dari segi aplikasi undang-undang.

 

Namun begitu, undang-undang syariah berkaitan penghartaan bagi orang Islam juga kini semakin mantap dan berdaulat. Sejak ditubuhkan, Mahkamah Syariah sedikit demi sedikit mulai mempunyai bidang kuasa bagi undang-undang diri, keluarga dan penghartaaan orang Islam.

 

Kemasukan perkara 1A di dalam Perkara 121 Perlembagaan Malaysia pada 1998 telah mengukuhkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah apabila kuasanya diiktiraf sebagai kuasa yang eksklusif bagi perkara berkenaan orang Islam.


 

wasiyyahshoppe


 

Sejak itu, perkara-perkara berkaitan penghartaan orang Islam (saya menjuruskan perbincangan artikel ini kepada perkara penghartaan sahaja), telah mula dibicarakan di Mahkamah Syariah.

 

Pengenalan Enakmen Wasiat Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, Kelantan dan Melaka telah memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan perkara berkaitan wasiat orang Islam. Begitu juga dengan perkara berkaitan hibah dan harta sepencarian, juga tercatit di dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam. Dalam pengetahuan saya, Enakmen Hibah juga kini dalam peringkat cadangan penggubalan di peringkat negeri-negeri.  

 

Sebagai orang tua dalam industri yang melihat dengan mata kepala sendiri perkembangan industri ini sejak 1998, perkembangan undang-undang syariah ini amat menarik perhatian saya.

 

Ia memberi ruang besar kepada umat Islam hari ini untuk merancang harta mereka menggunakan kaedah syariah sepenuhnya. Itulah yang telah, sedang dan akan terus dibuat oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Melalui penyelidikan ilmiah dan bimbingan Panel Syariah yang istiqomah, kami berterusan memperkenalkan perkhidmatan perancangan harta yang selari dengan hukum syarak dan perkembangan undang-undang syariah negara. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan lebih dari 400 perintah penghakiman dari Mahkamah Syariah telah kami peroleh dari Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad telah bekerja keras mendidik umat Islam sejak 2004  bahawa undang-undang Syariah Malaysia hari ini  sama berkesannya seperti undang-undang sivil dari segi keberkesanannya.


 

wasiyyahshoppe


 

Jadi kenapa kita sebagai orang Islam tidak mahu menggunakan kaedah syariah dalam urusan merancang harta? Kenapa kita orang Islam tidak yakin dengan kuasa Mahkamah Syariah? Jika bukan kita yang menggunakan sistem perundangan Islam ini, siapa lagi yang akan menggunakannya?

 

Bukankah apabila kita merancang melalui kaedah syariah, kita bukan sahaja dapat mencapai hasrat pembahagian harta kerana undang-undang syariah di Malaysia hari ini sama berkesan dengan undang-undang sivil, malah kita juga mendapat tempias pahala kerana apa yang kita buat itu adalah berkaitan dengan al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak ulamak? Tak mahukah kita mendapat pahala dari setiap tindak-tanduk kita di atas muka bumi ini?

 

Saya berjumpa pandangan yang lebih ekstrem lagi dalam industri bila ada pemain industri sendiri yang mengeluarkan kenyataan “Proses pengesahan hibah di Mahkamah Syariah akan menyebabkan kos bertambah dan proses menjadi semakin rumit. Jadi ia perlu dielakkan!”

 

Jika pemain industri ini tidak percaya dengan proses di Mahkamah Syariah, agaknya kes-kes pelanggan-pelanggan yang merancang harta melaluinya akan dibawa melalui undang-undang syariah atau tidak ?    

 

Sebagai orang yang bersyahadah, kita bukan saja bertanggungjawab untuk memastikan harta kita dirancang bagi melindungi nasib orang yang tersayang selepas ketiadaan kita, malah lebih penting lagi ialah apabila ada kaedah syariah diperkenalkan oleh organisasi seperti Wasiyyah Shoppe Berhad, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong dan menggunakan kaedah syariah ini.    

 

Namun undang-undang Malaysia tidak menyekat orang Islam dari menggunakan kaedah sivil bagi merancang harta mereka serupa seperti undang-undang Malaysia tidak menyekat orang Islam dari membuka akaun konvensional di bank.

 

Kitalah yang perlu tepuk dada tanya ‘iman’ (jangan tanya selera kerana selera berpaksikan nafsu). Adakah kita mahu mendapat pahala asbab menyokong kaedah syariah atau kita hanya mahu mendapat ‘functionality’ semata-mata dengan menggunakan kaedah sivil ? Pilihan di tangan anda.

 

 

 

wasiyyahshoppe
ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

wasiyyahshoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 KEKELIRUAN TENTANG  HIBAH TAKAFUL

Ada apa dengan TANGGUNGJAWAB?

FARAID DAN TANGGUNGJAWAB

TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu