SHAH ALAM 12 Ogos - Mahkamah Tinggi semalam membenarkan permohonan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk menggantung sementara tindakan Kerajaan Negeri Selangor membenarkan pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.
Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) berkata, Hakim Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian semalam.
"Mahkamah juga menetapkan 28 Sept ini untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh dua pertubuhan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Minggu lepas, Peka dan SACF memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling pada 20 Nov 2000 untuk menyahwartakan hutan simpan itu.
Mereka menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.
Kedua-dua NGO berhasrat mencabar keputusan responden atas alasan adalah tidak rasional untuk kesemua pihak terbabit membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar itu melalui pelaksanaan keputusan yang telah dibuat 22 tahun lepas selain menyifatkannya sebagai 'lapuk.'
BACA JUGA: 53 NGO gesa MB Selangor batal penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah
Mereka juga memohon pengisytiharan mengenai keperluan untuk mengadakan siasatan awam berkaitan pembangunan hutan simpan itu seperti yang termaktub di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011. - DagangNews.com