Momentum pertumbuhan positif akan berterusan sepanjang 2022 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Momentum pertumbuhan positif akan berterusan sepanjang 2022 - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Feb - Penganalisis optimis terhadap ekonomi Malaysia yang akan mencatat pertumbuhan lebih baik tahun ini dengan kelemahan dialami pada suku keempat 2021 hanyalah bersifat sementara.

 

Sebaliknya, impak daripada kejadian banjir yang berlaku akhir tahun lalu dan penggunaan yang lemah akan kembali pulih pada suku pertama ini, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Jelasnya, laporan khas yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kerugian yang dialami akibat banjir mencecah RM6.1 bilion, atau 0.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Jika ini benar, katanya, maka KDNK suku pertama 2022 mungkin tidak begitu suram, kerana kerugian tersebut boleh diimbangi dengan pembinaan semula ekonomi pasca bencana serta penyambungan semula permintaan terpendam secara keseluruhan.

 

"Di samping itu, pemberian subsidi makanan ruji dan bahan api oleh kerajaan pada suku pertama 2021 seharusnya mengurangkan tekanan inflasi yang semakin meningkat dan memastikan pertumbuhan penggunaan tidak terganggu.

 

"Bagaimanapun, risiko peningkatan bilangan kes Omicron menimbulkan sedikit kelemahan kepada kami setakat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

banjir
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kerugian yang dialami akibat banjir pada Disember lalu mencecah RM6.1 bilion, atau 0.4% daripada KDNK.

 

 

Secara keseluruhan CGS-CIMB mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5.6% dengan pertumbuhan suku pertama sebanyak 5.1%. 

 

Dari segi dasar monetari, ia melihat suku keempat 2021 yang suram sebagai hanya tempoh sementara dan tidak akan menjejaskan trajektori penggunaan swasta setakat ini. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan 2 kali kadar dasar semalaman (OPR) dengan 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini," tambahnya.

 

Pada suku keempat 2021, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. 

 

Berikutan pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku berkenaan, menyaksikan KDNK 2021 meningkat sebanyak 3.1% secara keseluruhan manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.6%.

 

Kegiatan ekonomi yang kembali pulih dibantu oleh pemulihan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan. 

 


Baca : Ekonomi Q4 berkembang 3.6%, catat pertumbuhan KDNK 2021 pada 3.1%

 

Baca : Optimis dengan pemulihan ekonomi, kerajaan kekal unjuran KDNK 2022 antara 5.5-6.5%

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, ekonomi Malaysia kembali pulih dengan pertumbuhan 3.1% pada 2021 selepas mengalami kemerosotan paling teruk sejak Krisis Kewangan Global pada 2020 yang menguncup -5.6%.

 

"Keseluruhan tahun juga adalah lebih rendah daripada jangkaan kami pada 3.7% disebabkan pertumbuhan suku keempat yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

"Namun, perkembangan pantas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Pelan Pemulihan Negara telah mempercepatkan pembukaan semula sektor ekonomi," jelasnya. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik tahun ini pada 6% kerana pemulihan tahun lalu telah terjejas terutamanya penyebaran varian Delta dan penguatkuasaan sekatan penuh.

 

Katanya, perbelanjaan domestik dijangka meningkat, yang mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi dan pasaran pekerjaan yang bertambah baik. 

 

"Perniagaan juga akan mengembangkan pengeluaran disokong permintaan yang meningkat. Pada masa sama, eksport akan terus meningkat terutama permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan petroleum. 

 

"Walaupun pandemik COVID-19 yang berterusan kekal sebagai risiko penurunan, tetapi kami berpendapat kerajaan tidak akan melaksanakan semula sekatan yang ketat di sebalik lonjakan semula jangkitan akibat varian Omicron," jelasnya.

 

 

covid
Kerajaan dijangka tidak melaksanakan sekatan penuh di sebalik ancaman varian Omicron.

 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata pula menjangkakan momentum pertumbuhan positif akan berterusan sepanjang tahun ini memandangkan aktiviti ekonomi kembali normal. 

 

Di sebalik ketidaktentuan akibat gangguan rantaian bekalan dan kekurangan bahan mentah dalam pengeluaran pembuatan, tetapi sektor tersebut masih diunjur menyokong pertumbuhan KDNK beserta pemulihan dalam sektor perkhidmatan di tengah-tengah pasaran buruh yang semakin baik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa tanpa kuarantin wajib. 

 

"Meskipun kewujudan wabak ini masih menyelubungi prospek ekonomi, tetapi pelancaran dos penggalak yang pantas dan kapasiti penjagaan kesihatan masih kekal terurus, dapat memberi sedikit penangguhan. 

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5.5% dengan kenaikan OPR pada 25 mata asas pada suku keempat 2022 apabila ekonomi domestik semakin kukuh," katanya. - DagangNews.com