Pencemaran disyaki dari Nilai punca bekalan air terhentikan | DagangNews Skip to main content

Pencemaran disyaki dari Nilai punca bekalan air terhentikan

SHAH ALAM 5 Okt . - Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak pukul 4.30 petang tadi, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

"Buat masa ini kita terpaksa menunggu pencemaran bau itu hilang, barulah loji dapat beroperasi semula. Setakat ini kita tidak pasti berapa lama sebab kita masih menyiasat punca pencemaran bau itu dan seluruh pasukan penyiasat tertumpu di Sungai Batang Benar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas mendengar taklimat daripada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pam Air Mentah Loji Sungai Semenyih, Jenderam Hilir, di sini malam tadi, lapor Bernama.

Semalam, seramai 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran operasi di dua Loji Rawatan Air (LRA) dihentikan akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata dua LRA terlibat ialah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang telah dihenti tugas sepenuhnya.

"Henti tugas loji-loji ini akan menyebabkan 274 kawasan terjejas dan Air Selangor telah pun mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas ekoran insiden ini," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata Air Selangor telah melaporkan insiden itu kepada Lembaga Urus Air Selangor dan tindakan mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar Sungai Semenyih sedang giat dijalankan.

Pada masa ini, katanya, jangkaan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan masih belum boleh dipastikan.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," katanya.

Bagi pengguna yang ingin mendapatkan maklumat kawasan terjejas dan kemas kini mengenai gangguan, mereka boleh merujuk aplikasi Air Selangor serta semua saluran rasmi media sosial agensi itu termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Antara kawasan terjejas ialah di daerah Sepang iaitu seluruh Presint 9, Presint 18, Presint 14, Presint 4, Presint 5, Presint 15 dan Presint 11.

Di daerah Petaling pula, antara kawasan yang terjejas ialah Aparment Bayu, Megagaria, Taman Universiti Indah, Astro, Bandar Pinggiran Putra serta Bukit Serdang 1,3 dan 4.

Di daerah Hulu Langat, antara kawasan terjejas ialah Bandar Bukit Mahkota, Bandar Puteri Bangi, Bandar Sri Putra dan Bangi Avenue.

Di daerah Kuala Langat pula, kawasan terjejas termasuk Taman Langat Murni, Bandar Brooklands, Bandar Saujana Putra dan Bandar Rimbayu. - DagangNews.com