Skip to main content

Prof Dr Md Nasir terima kritikan bantu cari penyelesaian lebih baik

Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim
Oleh FAIZAL ZAKARIA

MENGGALAS tanggungjawab sebagai peneraju dalam sesebuah organisasi bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi jika organisasi tersebut sering mendapat kritikan dan kerap menjadi buah mulut ramai berhubung pelbagai isu.

 

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai contohnya, merupakan sebuah organisasi yang sering dijadikan ‘bahan’ oleh sesetengah pihak disebabkan oleh perasaan tidak puas hati berkaitan industri perfileman negara.

 

Namun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas yang baharu, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim, pelantikan beliau untuk menjawat jawatan penting itu tidak pernah dianggap sebagai beban.

 

Malah kata beliau, jawatan tersebut dianggap sebagai satu amanah yang diberikan kepadanya dan beliau harus melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin bagi memulihkan semula imej Finas yang telah disalah anggap oleh banyak pihak sebelum ini.

 

finas
Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim bersama Seniwati Sarimah dalam satu daripada sesi libat urus dengan pemain industri, baru-baru ini. - Gambar FINAS

 

“Prinsip saya mudah iaitu saya menganggap kerja sebagai satu ibadah. Saya nak capai kepuasan dalam bekerja, oleh itu tidak timbul soal nak guna kuasa untuk kepentingan peribadi kerana duit banyak mana pun tak akan cukup. Jadi cukup dan berpuas hati dengan apa yang kita ada.

 

“Bagi saya, saya suka kalau orang kritik saya sebab ia boleh bantu saya untuk cari penyelesaian dengan lebih baik terutama berkaitan masalah yang timbul di dalam Finas,” katanya.

 

Beliau yang dilantik sebagai CEO Finas untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2021 hingga 30 Oktober 2023 dianggap sebagai satu pilihan yang tepat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Mohamad Mentek.

 

Malah, Mohamad Mentek turut menganggap Md. Nasir mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang industri kreatif khususnya seni budaya, sekali gus mampu memacu Finas sebagai sebuah badan peneraju yang menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

 

Md. Nasir merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

 

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

finas
Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di satu majlis Finas, baru-baru ini.

 

 

“Pengalaman saya bekerja di ASRAWA dan beberapa tempat lain telah membantu saya untuk mahir dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

“Malah, pengetahuan dan pengalaman berkaitan filem yang saya ada sebelum ini juga banyak bantu saya untuk terajui Finas.

 

“Bila masuk Finas, saya tau apa yang patut saya buat dan dalam tempoh tiga bulan pertama saya di organisasi ini, saya sudah kenal pasti isu yang ada di dalam dan di luar Finas, dan saya telah buat analisis untuk kenal pasti jalan penyelesaiannya,” ujarnya dalam satu temubual khas bersama DagangNews baru-baru ini.

 

BACA JUGA: Finas utamakan agenda bela nasib penggiat seni tingkatkan imej filem tempatan

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Md. Nasir berkata, beliau telah mengemukakan pelan strategik lima tahun bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul dengan ada antaranya boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka panjang.

 

Bagaimanapun beliau mengakui, perancangan itu bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan dan ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk dijayakan.

 

Justeru katanya, perkara pertama yang dilakukan adalah dengan memberi pemahaman kepada ketua-ketua jabatan di dalam Finas berhubung kaedah untuk melaksanakan dan objektif yang harus dicapai berhubung pelan strategik tersebut.

 

finas
 Prof. Dr. Md. Nasir bersama Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa melawat set penggambaran arahan Yusry KRU (paling kiri).

 

 

Jelas beliau lagi, antara isu lain yang turut dikenal pasti adalah berhubung perkara-perkara yang ditimbulkan oleh pemain industri yang perlu diselesaikan dengan cara yang baik.

 

“Contohnya, dalam industri pada masa ini, ada banyak persatuan dan ada yang bertindih dari segi fungsi dan peranannya.

 

“Orang kata kalau banyak persatuan ni bagus, jadi bagi saya itu perkara yang baik, kita raikan saja kepelbagaian yang ada.

 

“Cuma, kalau boleh saya mahu setiap persatuan yang ada ini saling bantu membantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain, dan bukannya bergerak secara berasingan,” ujarnya.

 

BACA: Finas fokus usaha naik taraf aset, pembaharuan Akta 1981

 

Tambah lagi, sebagai penambahbaikan kepada peranan dan fungsi persatuan tersebut, beliau telah mencadangkan kepada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) agar diwujudkan sebuah majlis kesenian dan perfileman negara.

 

Ia katanya, bagi membolehkan semua persatuan berkaitan seni dan perfileman boleh bernaung di bawah majlis tersebut, sekali gus mampu memberi impak yang lebih baik kepada perkembangan industri filem tanah air.

 

 

finas
 Prof. Dr. Md. Nasir mencuba membaca berita semasa melawat studio TV Sarawak di Kuching.

 

Dalam konteks isu dalaman yang timbul di dalam Finas pula katanya, beliau telah melakukan penyelidikan untuk mengenal pasti masalah yang ada terutama latar belakang kakitangan dan pegawainya.

 

“Memang ada isu berkaitan penempatan pegawai dan kakitangan yang dianggap tidak betul sebelum ini. Jadi saya kaji latar belakang mereka, bagai mana cara mereka bekerja dan sebagainya.

 

“Saya ambil langkah dengan menempatkan mereka di posisi yang betul agar mereka dapat bekerja dengan lebih baik, sesuai dengan keupayaan mereka.

 

“Dalam memimpin Finas ini, saya lebih banyak menggunakan pendekatan demokratik, dan kadang-kala autokratik, bergantung kepada situasi yang ada kerana saya mahu semua kakitangan dan pegawai di Finas menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

 

Mengulas mengenai pencapaian yang telah diraih dalam tempoh sembilan bulan pertama menerajui Finas, Md. Nasir memberitahu, antara yang telah dicapai adalah dengan menambahbaik sistem pengurusan lesen dan dana yang dikenali sebagai SPPIK (Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif Negara).

 

 Menerusinya kata beliau, urusan berkaitan proses permohonan lesen dan dana boleh dipercepatkan berbanding sebelum ini, selain ia lebih telus.

 

finas
Warga Finas juga tidak ketinggalan memberi sumbangan kepada masyarakat yang ditimpa bencana seperti banjir besar Lembah Klang tahun lalu.

 

 

“Isu berkaitan dana isu merupakan isu besar dan sering menjadi pertikaian banyak pihak terutama mereka yang tidak mendapat dana yang diminta.

 

“Menerusi SPPIK ini, sistem akan membuat penapisan pertama secara automatik bagi kenal pasti satu-satu permohonan diterima atau ditolak.

 

“Jika diterima, pemohon akan melalui proses penapisan seterusnya yang akan dikendalikan oleh panel penilai yang kini telah ditambah jumlahnya bagi membolehkan penilaian dibuat dengan lebih baik dan telus agar semua pihak berpuas hati,” katanya.

 

Menurut Md. Nasir lagi, sebagai orang penting dalam Finas juga, dia kerap menerima pelawaan daripada pelbagai pihak yang mahu mengadakan pertemuan dan perbincangan berhubung pelbagai perkara.

 

 

finas
 Prof. Dr. Md. Nasir sempat mengulur bantuan kepada pelawak Hamid Gurkha sebelum beliau meninggal dunia, baru-baru ini.

 

 

Malah katanya, beliau sendiri secara peribadi telah turun padang untuk bertemu dengan pelbagai pihak sama ada persatuan mahupun orang perseorangan bagi mendapatkan input berhubung isu-isu yang timbul berkaitan industri perfileman negara.

 

Jelasnya, walaupun dia mempunyai kuasa untuk melakukan pelbagai perkara termasuk membuat keputusan berhubung sesuai isu, namun beliau mengambil sikap untuk menyelesaikannya mengikut sistem dan proses yang telah ditetapkan.

 

“Saya nak biarlah semua perkara itu melalui proses yang betul, penilaian yang betul, biar semua orang puas hati.

 

“Saya tak nak gunakan kedudukan saya untuk salah guna kuasa. Itulah yang saya akan buat sepanjang saya jadi CEO di Finas ini,” katanya. – DagangNews.com