WAHAI SUAMI ! ANDA MESTI ADA POLISI TAKAFUL !
BILA berbicara tentang harta pusaka, antara keluhan biasa yang saya dengar dari kaum wanita ialah “isteri paling rugi dalam agihan harta pusaka. Sudahlah dapat sikit lepas tu kena tanggung pulak anak-anak yatim arwah suami!”
Pandangan ini sebenarnya kurang tepat. Memanglah jika dilihat dari segi hukum faraid bahagian isteri hanyalah ¼ (jika simati tidak mempunyai anak kandung) dan 1/8 (jika simati ada meninggalkan anak kandung). Ia memang kelihatan sedikit dari mata kasar.
Namun jika kita lihat pula hikmah faraid itu sendiri kenapa bahagian isteri sedemikian rupa ialah kerana isteri itu ditanggung dan bukan menanggung. Apa sahaja yang diterima oleh isteri, adalah haknya secara peribadi dan bukan digunakan untuk menanggung sesiapa.
Saya ditanya oleh seorang isteri (balu) yang kematian suami, “Habis tu, kalau bahagian isteri sedikit macam mana pulak dia nak meneruskan kehidupan dan dalam masa yang sama nak menanggung anak-anak yatim iaitu anak kepada suaminya?”
Sebenarnya anak-anak yatim itu sudahpun terjamin hak mereka melalui hukum faraid iaitu sama ada bahagian mereka ½ atau 2/3 (jika simati meninggalkan anak perempuan sahaja), nisbah bahagian 1 : 2 (jika simati meninggalkan anak perempuan dan anak lelaki) atau as-sobah iaitu waris yang menghabiskan baki harta pusaka (jika simati meninggalkan anak lelaki sahaja). Jadi janganlah kita risau tentang bahagian anak-anak kerana bahagian mereka memang dijamin dalam hukum faraid.
Tetapi bahagian harta pusaka ini bukan boleh didapati serta-merta selepas kematian. Kena lalu dahulu proses tuntutan harta pusaka yang memakan masa yang panjang mungkin bertahun-tahun, sedangkan isteri dan anak-anak yatim ini perlu meneruskan kehidupan seperti biasa sebaik selepas kematian suaminya. Yuran tuisyen kena bayar. Peralatan sekolah perlu dibeli. Makan dan minum anak-anak yatim ini bagaimana? Ditanya lagi kerisauan itu kepada saya.
BACA ANEKDOT MAWARITH : ada apa dengan TANGGUNGJAWAB?
Ada beberapa opsyen sebenarnya boleh dilakukan oleh isteri/ balu tadi bagi tujuan kesinambungan hidup dia dan anak-anak yatim tadi:
Opsyen pertama ialah jika isteri/ balu tadi mengetahui nombor pin atau kata laluan perbankan internet suaminya, maka bolehlah dikeluarkan duit dari akaun tadi bagi tujuan perbelanjaan tanggungan kos kehidupan mereka anak-beranak.
Namun demikian, semua perbelanjaan yang dikeluarkan mestilah direkod dengan teliti. Ini kerana dari segi hukum dan undang-undang, wang di dalam akaun itu adalah harta pusaka yang mana ada hak waris-waris lain selain isteri dan anak-anak ke atasnya.
Jika ibubapa suami tadi masih hidup ketika kematian suami itu, maka ibubapanya juga mempunyai hak 1/6 setiap seorang (jika simati ada meninggalkan anak kandung) ke atas wang itu. Dalam keadaan tertentu, adik-beradik simati juga mungkin mempunyai hak faraid.
Adalah sangat-sangat dicadangkan jika isteri / balu bercadang untuk menggunakan wang dari akaun itu secara ‘advance’ sebelum bicara kuasa dijalankan (kerana bicara kuasa mungkin berlaku beberapa bulan selepas permohonan bicara kuasa dibuat), maka maklumkanlah kepada waris-waris lain (jika ada) tentang hajat itu. Ini untuk mengelakkan sebarang kemungkinan salah faham dari waris lain bahawa isteri/ balu tadi berniat menyeleweng harta pusaka simati sekaligus mengelakkan sebarang perbalahan.
Segala pengeluaran wang secara ‘advance’ dari akaun simati yang dicatit secara terperinci itu kemudiannya hendaklah dibentangkan kepada semua waris faraid ketika bicara kuasa. Sekiranya waris faraid seperti ibu bapa atau adik-beradik berkeras menuntut wang ‘advance’ tadi sebagai harta pusaka, maka perlulah isteri/ balu berkompromi dengan bersetuju untuk kontra bahagian faraidnya dengan nilai yang telah digunakan. Isteri/ balu tidak boleh kontra nilai ‘advance’ tadi dari bahagian anak-anak simati kerana mereka masih di bawah umur.
Namun jika waris faraid tadi redha dan tidak mahu membuat sebarang tuntutan ke atas wang ‘advance’ itu , maka tidak perlulah dikontra dari bahagian isteri/ balu itu. Dari pengalaman saya, kebiasaannya jika waris itu hanyalah ibubapa simati, ada kemungkinan besar mereka tidak akan membuat apa-apa tuntutan.
Tetapi jika yang terlibat itu adik-beradik simati, ada kemungkinan besar mereka akan menuntut wang ‘advance’ itu dikontra dari bahagian isteri/ balu. Opsyen pertama ini terkait hukum kerana waris-waris faraid terlibat. Jadi perlu berhati-hati dalam menggunakan wang pusaka secara ‘advance’ ini.
Ada kaedah lain iaitu nafkah kerabat yang juga boleh digunakan untuk menampung kehidupan anak-anak yatim ini. Namun saya rizabkan cerita nafkah kerabat ini untuk penulisan saya akan datang.
Sebab itu selama 23 tahun dalam industri ini, saya selalu mengingatkan rakyat Malaysia adalah sangat penting untuk kita semua tahu secara tepat siapakah waris kita mengikut hukum faraid. Bagaimana pula nak memastikan isteri/ balu dan anak-anak yatim ini tidak terperangkap dalam situasi yang ‘tricky’ ini ?
Cara yang paling mudah ialah suami masa hidup ini, dapatkanlah perlindungan takaful dan hibahkan manfaatnya kepada isteri atau anak-anak. Ini opsyen kedua. Manfaat takaful biasanya dibayar dalam jangka waktu yang pendek sahaja selepas tuntutan dibuat dan tidak akan memakan masa berbulan atau bertahun seperti proses tuntutan harta pusaka.
Tidak perlulah isteri/ balu dan anak-anak yatim merayu-rayu mengharapkan ihsan waris-waris faraid lain seperti kisah yang saya sebut di atas. Manfaat takaful yang diterima isteri/ balu tadi tidak dianggap harta pusaka dan tidak perlu diagih kepada waris mengikut hukum faraid. Terserahlah kepada isteri/ balu tadi bagaimana dia menggunakan manfaat itu. Mengikut naluri seorang ibu, pastinya manfaat itu akan digunakan untuk menampung kos kehidupan anak-anaknya juga.
Jika si suami tadi bimbang isteri mati dahulu darinya, mati serentak dengannya atau isteri berkahwin semula selepas kematiannya hingga memungkinkan manfaat takaful itu disalahguna oleh isteri dan bakal suaminya, polisi takaful itu juga boleh diserahhak (assignment) kepada syarikat amanah berdaftar seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.
Apabila berlaku kematian kepada suami tadi, Wasiyyah Shoppe Berhad akan mengagihkan manfaat takaful itu kepada isteri dan anak-anak secara berkala dan berpanjangan mengikut arahan oleh suami tadi di dalam surat ikatan amanahnya. Perincian mengenai kaedah serahhak (assignment) polisi takaful ini akan saya ceritakan dalam artikel seterusnya.
Masyarakat Malaysia perlu faham bahawa walaupun hak faraid untuk isteri/ balu dan anak-anak itu terjamin, namun ada kedudukan hukum yang perlu dijaga dan proses undang-undang yang perlu dilalui.
Wahai suami yang bijak, jika anda benar-benar sayangkan pasangan dan anak-anak anda, segeralah melanggan polisi takaful dan hibahkan manfaat itu kepada pasangan anda!
KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH
TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA
Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama
KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua
Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga
BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?
ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!
COVID-19 dan perancangan harta
INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA
Tak semua orang perlu wasiat?
Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu