Skip to main content

9 Mei 2022: Saham Serba Dinamik didagangkan semula tetapi...

Ibu pejabat Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor. Gambar Muhammad Amzar Jailani

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

TARIKH 9 Mei 2022 dinanti-nanti pemegang saham Serba Dinamik Holdings Berhad setelah digantung dagangan sejak 22 Oktober 2021, hampir tujuh bulan lamanya oleh Bursa Malaysia.

 

Penggantungan kaunter dengan kod 5279 SerbaD adalah rentetan daripada tindakan perundangan yang dikenakan terhadap Serba Dinamik dan empat pegawai kanannya (termasuk Abdul Karim) dengan kemuncaknya pendakwaan di mahkamah kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) pada Disember 2021.

 

Mengikut akta tersebut, jika sabit kesalahan, seseorang itu berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta. Hukuman penjara menunjukkan betapa beratnya pertuduhan sedemikian.

 

Bagaimanapun, pada 13 April, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan kebenaran bertulis pendakwa raya dan menurut kuasanya di bawah Seksyen 373(1) CMSA, telah mengenakan kompaun ke atas Serba Dinamik dan pegawai tertuduhnya untuk sejumlah RM3 juta setiap seorang (dengan tambahan RM1 juta terhadap naib presiden akaun & kewangannya kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikat).

 

Tindakan mengenakan kompaun itu adalah susulan keputusan pihak pendakwa raya menerima representasi yang dibuat kepada AGC oleh Serba Dinamik dan individu terbabit.

 

Saham Serba Dinamik kali terakhir didagangkan pada 35 sen ketika kaunter digantung pada tengah hari 22 Oktober 2021, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM1.3 bilion.

 

AG diminta beri penjelasan

Tindakan mengenakan kompaun oleh Pejabat Peguam Negara ke atas Serba Dinamik telah mendatangkan kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk ahli politik yang menuntut penjelasan rasional keputusan itu diambil.

 

Dalam satu kenyataan, timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo meminta Peguam Negara (AG), Tan Sri Idris Harun untuk menjelaskan mengapa beliau bersetuju dengan penyelesaian kes Serba Dinamik melalui kompaun.

 

“Perkara itu telah menimbulkan perdebatan awam dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain korporat dan pasaran modal yang kesemuanya mengharapkan badan kawal selia memainkan peranan mereka dengan berkesan, bagi memastikan kredibiliti tadbir urus korporat dan pembangunan pasaran modal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

serbadinamik

 

“Walaupun Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding jenayah, persoalannya ialah sama ada perlu ada ketelusan dalam melaksanakan kuasa itu. Ia juga menimbulkan persoalan akauntabiliti yang hanya boleh dinilai jika ada penjelasan untuk dimulakan.

 

“Sebagai seorang pendakwa raya, beliau (AG) mesti bersuara, menjawab dan menangani kebimbangan yang dibangkitkan.

 

‘’Dia mesti menjelaskan mengapa dia membenarkan perkara itu diselesaikan dengan cara kompaun dan bagaimana itu, berdasarkan fakta kes ini, menimbulkan keyakinan.”

 

Pada 6 Mei 2022, Majlis Peguam Malaysia berkata ia kesal dengan tindakan Peguam Negara yang disifatkannya sekadar `mencubit lengan’ Serba Dinamik - satu tindakan yang boleh menjadi contoh yang berbahaya dalam dunia korporat negara.

 

“Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) harus mengelak daripada membuat keputusan yang mengetepikan syor yang dibuat oleh pengawal selia – dalam kes ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) – kerana ini berpotensi menghakis fungsi serta persepsi awam terletak pada pengawal selia,” pendapat naib presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab.

 

Pada 17 April, Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) turut menyatakan kebimbangan bahawa tawaran kompaun tersebut boleh mendatangkan `precedent berbahaya’.

 

“Adalah diperhatikan bahawa beberapa pertuduhan yang lebih rendah pada masa lalu tidak dikompaun tetapi diteruskan ke perbicaraan dengan hukuman penjara. Kami mesti mengambil kira mesej yang kami hantar kepada pasaran modal dan bakal pesalah," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Devanesan Evanson.

 

Devanesan Evanson
                          Devanesan Evanson

 

MSWG juga menggesa AGC - demi kepentingan ketelusan - untuk "menanggalkan tabir budi bicara mutlaknya dan menjelaskan sebab-sebab keputusannya".

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham Serba Dinamik diniagakan kembali pada 9 Mei

 

Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) pada 30 April 2022, menjelaskan dapatan daripada FFU itu mengandungi pandangan Serba Dinamik dan komen serta bantahan ini tidak mewakili pandangannya mengenai perkara berkenaan dan bursa tidak akan bertanggungjawab untuk memeriksa ketepatan, kesempurnaan atau kecukupan mana-mana yang sama.

 

“Bursa Securities, bagaimanapun, ingin menekankan bahawa kenyataan yang dibuat dalam pengumuman yang berkaitan dengan pelantikan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y), terma pelantikannya atau hakikat bahawa E&Y tidak menandatangani FFU dan kekurangan kuasa untuk mengeluarkan Arahan Bursa kepada Serba Dinamik, turut dibangkitkan oleh Serba Dinamik sebagai isu dalam prosiding sivil antara Bursa Securities dan Serba Dinamik dalam Saman Permulaan No. WA-24NCC-500-11/2021 dan WA-24NCC-535-11/2021,'' katanya.

 

Isu-isu ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dalam dua set prosiding sivil masing-masing. 

 

Bursa Securities turut mengulangi bahawa Perintahnya juga memerlukan, antara lain, agar Serba Dinamik mengumumkan kesan FFU terhadap perniagaan, status kewangan termasuk operasi, melengkapkan semakan bebas khas (SIR) dengan E&Y, dan menyediakan atau mengarahkan ejen atau kakitangannya untuk memberikan kemas kini bertulis dua minggu semakan kepada Bursa Securities.

 

Katanya, SIR tersebut belum selesai atau dimuktamadkan sehingga sekarang.

 

Juruaudit bebas Serba Dinamik, Nexia SSY PLT, yang terlibat untuk mengaudit penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 tidak menyatakan pendapat mengenai penyata kewangan tersebut, kerana Nexia tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dalam menyediakan asas bagi pendapat audit.

 

serbadinamik
Pejabat firma audit EY di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan

 

Saham dijangka rancak didagangkan

Kebenaran didagangkan semula saham itu juga memberi peluang untuk pemegang saham sedia ada untuk mengembalikan margin atau sekurang-kurangnya membawa keseimbangan kepada modal mereka yang tertangguh sejak tujuh bulan lalu.

 

Penganalisis saham menjangkakan saham Serba Dinamik berlangsung dalam kategori 'sangat rancak', dan masih ada kalangan pelabur yang mengharapkan saham itu dapat kembali rancak atau sekurang-kurangnya membuktikan mereka di pihak yang benar.

 

Ini memandangkan prospek jualan singkat telah dihadkan berikutan beberapa firma pembrokeran  mengenakan polisi pendahuluan tunai sementara terdapat kemungkinan syarikat minyak & gas (O&G) bersepadu global itu memiliki strategi tertentu, terutamanya ikatan dengan beberapa firma penyedia dana untuk menyerap tekanan jualan yang kemudiannya akan membuka gelombang kepada kebangkitan harga.

 

Lebih-lebih lagi, dua pemegang saham utamanya, iaitu Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah (pengarah urusan/CEO kumpulan; 21.22%) dan Datuk Abdul Kadier Sahib (pengarah bukan bebas bukan eksekutif; 16.33%) telah memaklumkan kepada Bursa Malaysia tentang hasrat mereka pada 5 Mei. untuk berurusan semasa pasaran ditutup.

 

Sekatan dagangan

Akhbar StarBiz mendedahkan pada 7 Mei 2022, bahawa sekurang-kurangnya satu firma pembrokeran telah mengenakan sekatan dagangan dan mengenakan syarat-syarat lain ke atas Serba Dinamik.

 

“Memandangkan ketidaktentuan kedudukan sebenar kewangan Serba Dinamik sementara menunggu hasil daripada kesan penyelewengan perakaunan, kami menjangkakan turun naik harga saham sebaik sahaja dagangan disambung semula pada saham/warannya,” kata broker yang tidak dinamakan itu dalam nota kepada pelanggan.

 

“Oleh itu, pihak pengurusan telah memutuskan bahawa berkuat kuasa 9 Mei, kami akan mengenakan sekatan dagangan ke atas pembelian saham/waran Serba Dinamik dalam semua akaun dagangan (termasuk margin dan tiada dagangan dibenarkan untuk akaun dagangan proprietari), di mana 100% bayaran tunai pendahuluan/dana dijelaskan (jika pembayaran melalui cek) sebelum memasuki sebarang kontrak pembelian.”

 

Di samping itu, ia berkata pada masa yang sama, saham/waran Serba Dinamik juga akan diklasifikasikan sebagai non-marginable counters.

 

Selaras dengan sekatan dagangan, pembrokeran itu berkata saham/waran Serba Dinamik akan digantung daripada pembelian dalam sistem dagangan.

 

“Sekiranya pelanggan ingin membeli saham/waran Serba Dinamik, sila pastikan mereka mempunyai wang tunai yang mencukupi dalam akaun amanah/ dana dijelaskan sebelum meminta kakitangan pengurusan kredit membatalkan penggantungan pembelian,” tambah broker itu.

 

 D-Virtual Park Kota Samarahan
D-Virtual Park Kota Samarahan, dekat Kuching, Sarawak - satu daripada pembangunan teknologi digital kendalian Serba Dinamik.

 

Masa untuk pulih

Pada 5 Mei 2022, Serba Dinamik berkata ia menjangkakan untuk merangka pelan untuk menyesuaikan keadaan kewangannya dalam tempoh lapan bulan akan datang.

 

“Syarikat itu akan membuat pengumuman yang diperlukan mengenai pelan penyusunan semula mengikut keperluan di bawah Nota Amalan 17 (PN17),” katanya dalam pemakluman di Bursa Malaysia.

 

Begitu berat cabaran yang dilalui oleh Serba Dinamik sejak juruaudit luarannya KPMG melaporkan ketidakseragaman akaun pada pertengahan tahun lalu.

 

Orang awam yang tidak terlibat di dalam hal ehwal korporat atau memiliki saham syarikat, lebih melihat Serba Dinamik sebagai sebuah entiti negara yang banyak melabur di seluruh negara, bukan sahaja Sarawak yang mana kerajaan negeri dimaklumi antara pelabur institusi yang tidak menarik keluar pelaburannya dari dalam syarikat, sehingga kini.

 

Dalam apa cara sekali pun, orang awam mahu isu Serba Dinamik ini diselesaikan dengan sewajarnya supaya dapat kembali berniaga seperti dahulu, kembali meneruskan aspirasi negara. Episod ini amat perit dan belum selesai sepenuhnya sekarang. – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Massachusetts​​​​​​ - ​Bee Gees berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.