Amrin Awaluddin kini CEO LTAT | DagangNews Skip to main content

Amrin Awaluddin kini CEO LTAT

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Datuk Seri Amrin Awaluddin telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkuatkuasa 4 Januari lalu. 


 

Perkara itu diumumkan lembaga berkenaan menerusi kedua-dua platform media sosialnya, Instagram dan Facebook baru-baru ini. 

 

Beliau menggantikan Nik Amlizan Mohamed, yang telah melepaskan jawatan berkenaan sebelum dilantik sebagai CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) pada 2 November lalu.

 

Baca : Nik Amlizan dikatakan telah berundur dari LTAT

 

Amrin sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan merangkap CEO di Boustead Holdings Berhad yang merupakan anak syarikat LTAT. 

 

Desas-desus Amrin bakal menerajui LTAT telah timbul sejak tahun lalu di mana dalam tempoh sama beliau melepaskan jawatan di Boustead.

 

Apabila dilantik sebagai CEO LTAT, ini bermakna Amrin bakal menentukan hala tuju keputusan syarikat sekiranya ingin meneruskan penswastaan Boustead. 

 

Melihat kembali pada pertengahan tahun lalu, LTAT yang memegang sehingga 59.4%  kepentingan dalam Boustead menyatakan hasrat untuk menjadikan organisasi itu sebagai syarikat persendirian.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) juga tiada bantahan terhadap hasrat lembaga itu. 

 

Baca : Bank Negara tiada bantahan Boustead diswastakan 

 

Pada 27 Oktober 2020, DagangNews.com melaporkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi tempoh sehingga 2 Februari depan untuk LTAT membuat keputusan penswastaan Boustead. 

 

Baca : SC tambah tempoh 4 bulan LTAT putuskan penswastaan Boustead

 

Dalam sepucuk surat yang diberikan kepada LTAT, SC menyatakan bahawa suruhanjaya itu tidak berhasrat untuk menangguhkan lagi tempoh rundingan terhadap cadangan berkenaan. - DagangNews.com