20 soalan yang memang ada dalam hati tapi anda takut suarakan | DagangNews Skip to main content

20 soalan yang memang ada dalam hati tapi anda takut suarakan

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SAMA seperti kebanyakan rakyat Malaysia, kita semakin rimas dan tidak bersemangat membaca berita-berita politik. Ramai daripada kita mahu berkecuali. Ramai mahukan kehidupan normal dikembalikan. Ramai lebih runsingkan mati disebabkan COVID-19, berbanding siapa akan jadi perdana menteri.

 

Pagi Ahad ini, ada sedikit berita menggembirakan. Kerajaan mula melonggarkan sektor ekonomi. Mata tertumpu kepada `kedai gunting rambut’ di dalam kertas pengumuman.

 

Dulu masa muda remaja, bila cuti penggal sekolah sahaja ambil peluang kumpul panjang. Sekarang sudah remaja expired, rambut menjalar di telinga sudah tak tahan.

 

Pengumuman kerajaan itu juga menyebabkan pengolahan Merrepak sedikit lambat hari ini, selain mengubah tajuk beberapa kali. Asalnya memang bertema politik tetapi bila ditanya dalam hati, rasa lemah. Hati kata, petang ini sila kayuh basikal, Insya-Allah.

 

Jadi sesuai dengan polisi Merrepak, kita akan perturunkan penceritaan santai, sesuai dengan keperluan kita bersantai di hujung minggu.

 

Nyatakan betul atau tidak pernyataan Merrepak yang dibentangkan berikut:

1. Sungai Amazon di Brazil diilhamkan menjadi nama sebuah laman web. Betul atau tidak?

 

merrepak

 

 

2. Taiping memiliki penjara yang dibina pada zaman British, menjadikannya penjara tertua di Malaysia, sebelum wujudnya Penjara Pudu. Betul atau tidak?


 

merrepak

 

3. Anda meminta pindah kerusi di dalam pesawat atas alasan tidak tahan mendengar bayi menangis. Namun, tidak dibenarkan oleh pramugari atas faktor bayi tersebut adalah anak anda sendiri. Betul atau tidak?

 

4. Seseorang yang berusia 60 tahun tidak lagi merujuk lutut sebagai lutut kiri atau kanan, tetapi menamakannya mengikut klasifikasi ‘lemah’, ‘bisa’ dan ‘lenguh’. Betul atau tidak?

 

5. Seorang mangsa kemalangan terjaga daripada koma: “Doktor, ada masalah. Saya tidak dapat rasa apa-apa pada kaki saya!” Doktor menjawab, “ya, kami terpaksa memotong kedua-dua tangan awak.” Betul atau tidak?

 

6. Seorang lelaki bertanya kepada pustakawan untuk meminjam buku mengenai cara membunuh diri. Dengan tegas pustakawan menyergahnya. “Tak boleh pinjam. Nanti kamu tak pulang-pulangkan buku.” Betul atau tidak?

 

7. Brentford, pasukan yang pertama kali menyertai Liga Perdana Inggeris dalam sejarah 74 tahun penubuhannya, menewaskan pasukan popular Arsenal 2-0 dalam aksi pembukaan 14 Ogos 2021. Betul atau tidak?

 

merrepak

 

8. Jiran anda suka bagi makanan pada kucing jalanan. Kucing itu kemudian berak di depan pagar rumah, menyebabkan semerbak harum sisa buangannya. Anda tidak salahkan kucing tapi salahkan jiran. Betul atau tidak?

 

9. Grup surau anda suka mempersoalkan itu ini. Kenapa surau masih ditutup tapi kilang dibuka? Dengan selamba anda jawab, ‘’pergilah solat di kilang’’.  Betul atau tidak?

 

10. Jenama kereta terkenal di dunia Jaguar, adalah milik syarikat automotif India. Betul atau tidak?

 

 

merrepak

 

 

11. Pihak yang mencadangkan PM meletak jawatan, tidak ada calon sesuai dari segi majoriti atau sokongan pun untuk mengambil alih. Betul atau tidak?

 

12. Disebabkan PKP, semua kena duduk di rumah dan bila tidak memasak, bergantung kepada tempahan makanan menerusi sistem penghantaran. Sejak Jun lepas, harga makanan dalam menu semakin mahal. Betul atau tidak?

 

13. Suatu masa, berpusu-pusu orang menjual pelitup muka. Sekarang berpusu-pusu pula jual alat ujian kendiri COVID-19. Betul atau tidak?

 

 

merrepak

 

 

14. Jalan Simpang Empat dan Jalan Simpang Tiga wujud di semua 14 negeri di Malaysia. Betul atau tidak?

 

15. Tawaran tiket penerbangan murah atau pakej pelancongan ke sana sini, tidak anda hiraukan sejak setahun lalu. Betul atau tidak?

 

16. Stress bekerja di rumah, lebih tinggi berbanding bekerja di pejabat. Betul atau tidak?

 

17. Alat pendingin hawa sudah habis gas dan mengeluarkan bunyi seperti enjin motorbot. Betul atau tidak?

 

merrepak

 

18. Skil bercakap anda sekarang menjadi `sedikit’ baik sebab kena menunggu giliran bercakap secara teratur menerusi persidangan video. Betul atau tidak?

 

19. Jiran sebelah rumah anda datang mendekat tanpa memakai pelitup muka, anda terus bergegas masuk rumah. Betul atau tidak?

 

20. Semasa berjumpa kawan di kedai, mata anda melilau waspada kepada sesiapa berpakaian seragam biru tua atau membawa fail. Takut kena saman sebab berpeleseran semasa PKP. Betul atau tidak?

 

 

  • Sekiranya kesemua 20 soalan anda jawab `Betul’, anda layak untuk menikmati durian MK2 bersama jiran sebelah kanan rumah anda.

  • Sekiranya kesemua 20 soalan anda jawab ‘Salah’, anda layak membeli durian MK2 dan sedekahkan kepada jiran sebelah kiri rumah anda.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu AKU DAH BOSAN - AMY SEARCH berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.