Jenis kenderaan layak subsidi diesel, pertambahan kuota dalam pertimbangan kerajaan  - KPDN | DagangNews Skip to main content

Jenis kenderaan layak subsidi diesel, pertambahan kuota dalam pertimbangan kerajaan  - KPDN

Sebanyak  33 kenderaan layak mohon subsidi diesel di bawah SKDS 2.0. - Gambar KPDN
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan sedang mempertimbangkan syor pelbagai pihak supaya jumlah kenderaaan pengangangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ditambah.

 

Turut dalam pertimbangan kerajaan ialah meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Armizan Mohd Ali menerusi kenyataan media hari ini.

 

Menurut Armizan, semua permohonan rayuan sedang diteliti KPDN dan akan diangkat kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel sebelum diputuskan  Jemaah Menteri.

 

Kata beliau, beberapa pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada KPDN berkaitan penambahbaikan SKDS susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula pada 10 Jun 2024.

 

SKDS
Infografik KPDN jenis kenderaan layak di bawah SKDS. 

 

Menurutnya, antara syor adalah mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah SKDS dan meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

 

"KPDN sedang meneliti semua asas permohonan dan rayuan ini dan akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

 

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

"Jawatankuasa Rayuan akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kad fleet diesel subsidi akan ada had pengisian, kata Timbalan Menteri Kewangan

 

ARTIKEL BERKAITAN: FAQ mengenai Kelayakan Pemilik Kenderaan Diesel Individu dibawah BUDI oleh MoF

 

Armizan dalam pada itu menyeru syarikat pengangkutan yang layak untuk segera memohon kelulusan subsidi diesel melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon kad fleet daripada syarikat minyak pilihan.

 

skds 2
Infografik KPDN mengenai kad fleet ketika Armizan Mohd Ali (empat dari kiri) menyerahkan kad tersebut kepada syarikat lori baru-baru ini.

 

Sementara itu, KPDN dalam hantaran di media sosial semalam berkata, sebanyak  33 kenderaan layak mohon subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

 

Katanya, syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kenderaan layak untuk memohon diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi SKDS 2.0 dan disarankan untuk segera membuat pendaftaran dan mendapatkan kelulusan melalui Portal MySubsidi Diesel dan seterusnya memohon kad fleet untuk terus menikmati pembelian diesel bersubsidi.



"Dokumen penting untuk pendaftaran di MySubsidi Diesel ialah Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan geran Kenderaan yang ingin didaftarkan," kata KPDN.

 

Beberapa pihak sebelum ini merayu kerajaan memperluaskan jenis kenderaan yang layak dapat subsidi dieselantaranya Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) yang merayu agar kerajaan mempertimbang pemberian subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran. - DagangNews.com