Khairussaleh Ramli dilantik Presiden Pesuruhjaya Maybank Indonesia  | DagangNews Skip to main content

Khairussaleh Ramli dilantik Presiden Pesuruhjaya Maybank Indonesia 

DATUK KHAIRUSSALEH RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Okt - Autoriti Kewangan Indonesia (OJK) telah meluluskan pelantikan Datuk Khairussaleh Ramli sebagai Presiden Pesuruhjaya PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) berkuat kuasa 4 Oktober 2022. 

 

Beliau telah menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank sejak 1 Mei 2022.

 

Dalam kenyataan hari ini, Khairussaleh berharap untuk terus bekerjasama dengan ahli Lembaga Pengarah dan Pesuruhjaya Maybank Indonesia, serta pengawal selia industri perbankan, dengan matlamat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan sosial di Indonesia di samping  memacu operasi Maybank Indonesia ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan peluang yang tidak direalisasikan.

 

“Indonesia sebagai suatu pasaran telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa sebelum COVID-19 dan kami melihat keupayaanya untuk maju semula selepas pandemik. 

 

"Memandangkan potensi pasaran ini yang juga merupakan salah satu pasaran tempatan Maybank, kami akan terus menambahbaik berpandukan sejarah dan kepakaran untuk meningkatkan jejak perbankan kami di nusantara,” katanya.

 

Beliau yang sebelum ini merupakan Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Indonesia (ketika itu Bank Internasional Indonesia) antara 2012 dan 2013, mempunyai pengetahuan mendalam tentang pasaran Indonesia dan memainkan peranan penting dalam mengubah Bank Internasional susulan pemerolehannya oleh Maybank pada 2008.

 

“Indonesia kekal sebagai pasaran tumpuan utama kumpulan di bawah pelan strategik semasa. Kami berharap dapat mengukuhkan asas Maybank Indonesia melalui pembahagian sasaran dan perancangan yang jelas, membezakan diri kami melalui tunjang pertumbuhan utama serta mengoptimumkan operasi dengan lebih lanjut,” tambahnya.

 

 

Taswin Zakaria
TASWIN ZAKARIA

 

 

Sementara itu, Presiden Pengarah Maybank Indonesia, Taswin Zakaria berkata, pengurusan Maybank Indonesia akan terus bekerjasama rapat dengan Khairussaleh untuk melangsungkan cita-cita M25.

 

“Beliau amat dikenali antara kami kerana sebelum ini pernah menerajui Maybank Indonesia untuk hampir dua tahun. 

 

"Dengan pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau tentang Indonesia dan Maybank Indonesia, kami optimis untuk mempercepatkan pelaksanaan strategi M25 kami, dan mampu menyumbang secara mampan kepada ekonomi serta komuniti-komuniti yang kami beroperasi,” jelasnya.

 

Khairussaleh, yang mempunyai hampir 30 tahun ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, pernah berkhidmat dengan Maybank di antara November 2008 dan September 2013, telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sebelum menyandang jawatan Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif operasi Maybank di Indonesia. 

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan daripada Washington University dan merupakan graduan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School. Beliau juga merupakan Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers. - DagangNews.com